Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tidak benar hanya boleh mengundi ikut masa digalakkan saja - SPR
Diterbitkan:  Nov 10, 2022 4:54 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

PRU15 l Semakin hangat pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menjelang tarikh pengundian pada 19 November ini, berita palsu terus tersebar mengenai proses pembuangan undi di media sosial.

Mesej yang diedarkan di WhatsApp mendakwa bahawa pengundi hanya boleh mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti yang tercatat di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila seseorang menyemak maklumat pengundian mereka.

Bagaimanapun, SPR pernah menjelaskan sebelum ini, iaitu pada Mac lalu semasa pilihan raya negeri Johor, bahawa tidak benar bahawa seseorang itu hanya boleh mengundi semasa ‘waktu mengundi yang digalakkan’.

“Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang atau waktu yang telah diwartakan.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” kata SPR dalam satu kenyataan, hari ini.

Waktu mengundi yang digalakkan diperkenalkan semasa beberapa pilihan raya negeri yang lalu untuk mengawal orang ramai dariapada hadir beramai-ramai pada sesuatu masa di pusat pengundian bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Satu lagi maklumat palsu yang disebarkan dalam talian ialah mereka dengan kuku yang diwarnakan tidak akan dibenarkan mengundi pada hari berkenaan.

Kekeliruan itu mungkin berpunca daripada nasihat SPR pada pilihan raya umum sebelum ini supaya menangguhkan mewarnakan kuku sebelum hari mengundi.

Ketika itu, alasan yang diberikan ialah dakwat kekal yang digunakan semasa proses pengundian akan menjejaskan hiasan kuku pengundi.

Walau bagaimanapun, tiada peraturan yang menghalang seseorang daripada mengundi kerana kuku yang dihiasi itu.

Rakyat Malaysia akan mengundi pada 19 November ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS