Nazri ramal BN menang di Perak, tapi cuma sumbang 8 kerusi parlimen
Pemimpin veteran Umno Nazri Abdul Aziz meramalkan BN akan mengekalkan kerajaan negeri Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Bagaimanapun, penyandang parlimen Padang Rengas selama enam penggal itu berkata bahawa gabungan itu mungkin akan menang lapan kerusi sahaja di peringkat parlimen.
"Saya berkeyakinan dengan (penyandang menteri besar) Saarani (Mohamad) menjadi 'poster boy' untuk negeri, mungkin kita boleh dapat tubuh kerajaan di Perak.
"Tapi, bagi kawasan parlimen saya yakin cuma rasa lapan parlimen boleh menang.
"Secara keseluruhan, prestasi negeri memberangsangkan. Tapi, kita punya sumbangan kepada persekutuan mungkin ada lapan sahaja. Mungkin akhir nanti kita bergabung (tubuh kerajaan pusat) dengan parti-parti mesra BN," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai ramalannya di negeri Perak pada PRU ini.
Untuk rekod, Perak mengandungi 24 kerusi parlimen dan 59 kerusi dewan undangan negeri (DUN).
Gerik dan Pasir Salak kerusi 'kelabu'
Nazri turut menyifatkan parlimen Gerik dan Pasir Salak sebagai kerusi 'masalah'.
Katanya, dua kawasan itu dianggap sebagai masalah dari segi faktor calon.
"Pertama Gerik, ini kerana calonnya bukan daripada kawasannya, malah bukan daripada negeri (Perak). Dah tentu dia akan bermasalah kerana biasalah kita mahu calon tempatan.
"Namun, saya fikir oleh kerana pengundi luar bandar mereka ini pegang pada lambang, akhir nanti benda ini boleh selesai dan kita boleh menang,” katanya.
Bagaimanapun, dia tetap meletakkan Gerik sebagai kerusi 'kelabu'.

Bagi kerusi Pasir Salak, Nazri berkata bahawa terdapat rasa tidak puas hati di peringkat bahagian terhadap pemilihan calon.
"Kita tahu bahawa calon parlimen itu walaupun daripada Pasir Salak, tapi ada berasa tidak puas hati kerana ketua bahagian tidak dicalon.
"Tapi, saya percaya akhir nanti orang akan undi juga BN. Namun, saya meletakkan Pasir Salak bukan sebagai kawasan 'putih' tetapi 'kelabu'," katanya.
Kerusi kelabu bermakna kawasan parlimen yang mempunyai peluang 50-50. Sementara kerusi putih merupakan kawasan yang selamat dan kerusi 'hitam' membawa maksud peluang kemenangan yang tipis.
Pada kali ini, Umno mencalonkan Ketua Pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki di Gerik selepas penyandangnya Hasbullah Osman meninggal dunia.
Asyraf disaingi Ahmad Tarmizi Md Jam dari PH dan Fathul Huzir Ayob mewakili PN.
Sementara di Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang memegang kerusi selama tiga penggal digugurkan dan digantikan dengan bekas ahli Dewan Negara Khairul Azwan Harun.
Azwan lebih dikenali sebagai 'Azwan bro' bakal menghadapi pertandingan empat penjuru.
Turut bertanding di kerusi itu Nik Omar Nik Abdul Aziz yang mewakili PH, Jamaluddin Yahya (PN) dan Zairol Hizam Zakaria (Gerakan Tanah Air-Pejuang).
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/03/4773f15f562e43195915f2a1b977e632.jpg)
