PRU15 l Empat individu yang menjadi calon bebas di empat dewan undangan negeri (DUN) Perlis tampil bekerjasama dalam usaha memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing sekali gus berperanan dalam pembentukan kerajan negeri.

Menggelarkan gabungan itu sebagai 'pakatan bebas' mereka terdiri daripada penyandang kerusi Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin (Titi Tinggi); bekas timbalan pengerusi tetap Bersatu, Hashim Suboh (Bintong); bekas naib ketua Umno bahagian Kangar, Azhar Ahmad (Kuala Perlis) dan bekas setiausaha biro agama Bersatu, Ammar Hassan (Simpang Empat).

Hashim berkata, mereka adalah indivdu yang sudah lama bekecimpung dalam politik namun masing-masing akhirnya dipinggirkan oleh parti sebagai calon pada PRU ke-15 kali ini.

Walaupun berdepan pelbagai andaian apabila tampil bertanding sebagai calon bebas katanya, penyertaan mereka bukan sekadar suka-suka sebaliknya mempunyai agenda dan misi yang tersendiri untuk rakyat dan negeri itu.

"Kita bukan masuk politik kerana suka-suka, kita ada agenda masing-masing yang sudah tentu berkait dengan parti yang pernah didukung dan buat keputusan bertanding sebagai calon bebas.

"Kita merasakan soal pemilihan calon banyak perkara yang tidak berasas yang akhirnya menjadi punca, dengan tiba-tiba saja kami dinafikan, itu antara asas yang saya percaya menjadi sebab mengapa kita buat keputusan begitu," katanya pada sidang media keempat-empat mereka di Kangar, semalam.

Perlis mempunyai 15 kawasan DUN dan 10 daripada jumlah itu dimenangi BN pada pilihan raya umum 2018 lalu.

Bagaimanapun kali ini BN Perlis dilihat menghadapi cabaran berbeza selepas dua penyandang wakil rakyat mereka tidak dicalon iaitu Zahidi menjadi calon bebas dan Shahidan Kassim yang bertindak menyertai Perikatan Nasional untuk mempertahankan Parlimen Arau.

Sementara itu Hashim berkata, dalam konteks negeri Perlis mereka mempunyai keyakinan dan peluang untuk menang dan tinjauan juga mendapati tiada parti politik yang boleh menang secara dominan dalam pilihan raya kali ini.

"Berdasarkan maklumat kita dapat tidak akan ada parti politik yang akan dominan di Perlis, tak akan ada parti politik yang akan ada wakil rakyat lebih daripada lima, itu kita jangka.

"Berdasarkan maklum balas, kita dapat respon yang masing-masing meyakinkan. Kalau diizinkan Allah SWT kita berempat yang menang ia boleh dianggap sebagai satu section politik tanpa parti.

"Dalam keadaan begitu, ini adalah permulaan politik baru yang mana bebas boleh menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun akhirnya ia bergantung kepada perkenan pihak istana. Sebab ini undang-undang tubuh kerajaan negeri, individu yang mendapat sokongan majoriti untuk tubuh kerajaan, bukan parti politik," jelasnya.