Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar dakwa ada tentera mengundi hari ini, dibayar RM300

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, hari ini mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan parlimen Bera di Pahang sudah mengundi untuk PRU kali ini.

Berucap di majlis ramah mesra di Kuala Nerus, Terengganu hari ini pengerusi PH itu turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya di hadapan sekitar 100 hadirin yang hadir pada majlis itu.


Baca: Anwar fitnah tuduh tentera terima wang - Ismail Sabri


Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH untuk kawasan parlimen Tambun di Perak berkata, dia menggesa SPR segera bertindak menyiasat kejadian tersebut.

“Saya nak nasihatkan SPR, supaya mengambil tindakan tegas sekarang supaya tidak mencemarkan pelaksanaan pilihan raya,” katanya.

SPR menetapkan hari mengundi ialah pada 19 Nov ini menakala bagi pengundian awal, pemilih yang terlibat boleh mengundi pada 15 Nov.

Anwar juga berkata, apa yang berlaku itu jelas memperlihatkan Umno-BN kini berada pada “tahap yang parah”.

“Jelas, Ismail Sabri Yaakob (perdana menteri sementara) dan menteri pertahanan (Hishamuddin Hussien) cemas.

"Mereka tahu BN berada di tahap paling parah sekarang dan mereka bersekongkol dengan PN untuk memastikan ada penipuan dalam proses pilihan raya," katanya.

SPR minta lapor SPRM

Kesal dengan kejadian yang berlaku itu, Anwar turut meminta keadaan dibetulkan.

Untuk itu, katanya, 'undi' yang dilakukan oleh anggota keselamatan terbabit mesti dibatalkan dan mereka mengundi semula pada tarikh yang dinyatakan SPR iaitu pada 15 Nov ini.

Menurut Anwar, pihaknya mahu SPR memberi penjelasan bagaimana proses pengundian tersebut boleh berlangsung ketika tarikh mengundi awal belum tiba.

"Bagaimana (undi awal) boleh dijalankan hari ini, saya bimbang kerana unsur wang, unsur tekanan (dan) unsur penipuan yang berlaku kerana ada bukti," katanya.

Sementara itu petang ini SPR berkata, sekiranya mana-mana pihak mendapati berlaku perbuatan menyogok atau merasuah semasa proses pengundian pos di kawasan parlimen Bera seperti didakwa, pengadu yang mempunyai maklumat atau bukti disarankan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lihat Komen
ADS