Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu lagi dengan tawaran cuti umum yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungi itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Zahid berkata bahawa BN adalah satu-satunya gabungan yang mampu menjanjikan kestabilan dan kemakmuran negara.

"Jangan hanya kerana mahu dapat cuti dua hari ditawarkan PN selepas PRU15 kesudahannya dapat ketidakstabilan dan ketidakmakmuran berpanjangan.

"Dulu pernah dapat cuti dua hari daripada Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14, kesudahannya sebahagian rakyat dapat cuti panjang disebabkan hilang pendapatan atau pekerjaan.

"Jadikan pengalaman kerosakan sosio ekonomi lalu sebagai iktibar apabila dihidangkan sekali lagi dengan tawaran yang sama oleh lawan BN," katanya.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran manifiesto tawaran gabungan itu, 7 November lalu, berkata bahawa jika mereka menang kali ini, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor akan diberi cuti pada Ahad, 20 November manakala bagi negeri-negeri lain pula mereka akan diberikan cuti pada Isnin, 21 November.

Katanya, ini bagi membolehkan pengundi luar pulang selepas mengundi pada PRU15 tanpa perlu memohon cuti.

Bagaimanapun, Zahid berkata bahawa tawaran BN memberi cuti bergaji pada hari lahir adalah lebih komprehensif dan berkesan.

"Usah gadai masa dèpan negara hanya kerana terpesona dengan cuti singkat 48 jam berbanding musibah terpaksa ditempuhi untuk tempoh yang lama.

"Berbanding tawaran BN cuti bergaji pada hari lahir bersifat komprehensif dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta mengiktiraf sumbangan golongan pekerja."Masa tidak menunggu kita. Jangan kata 48 jam yang ditawarkan, lima jam pun sudah cukup untuk lawan BN menambahkan lagi kerosakan kepada negara," katanya.


BACA: Perbandingan Manifesto


Untuk rekod, pada PRU14, Pengerusi PH ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan 10 dan 11 Mei akan diisytiharkan sebagai cuti umum sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi PRU.