PRU15 | Pihak polis hari ini menjelaskan bahawa calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 perlu mengemukakan permohonan permit setiap kali mengadakan program perjumpaan awam.

Bagaimanapun Pengarah Op PRU15 PDRM, Hazani Ghazali berkata, mereka hanya perlu mengemukakan permohonan permit sekali sahaja bagi aktiviti walkabout sepanjang tempoh berkempen dalam kawasan parlimen atau DUN.

Menurutnya, peraturan itu adalah mengikut Subseksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Jika kawasan ditandingi melibatkan dua atau lebih daerah polis, maka permohonan perlu dikemukakan di salah satu Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkaitan.

"Permohonan keperluan permohonan permit ini adalah bagi membolehkan PDRM mengambil langkah dalam memastikan calon-calon dapat menjalankan aktiviti kempen dengan lancar.

"Calon-calon yang bertanding hendaklah mengambil langkah bagi memastikan pertembungan dielakkan dan tiada provokasi lisan atau fizikal timbul semasa program walkabout dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam beberapa calon menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan syarat yang dikenakan pihak polis.

Pengarah pilihan raya DAP, Liew Chin Tong menyifatkan peraturan berkenaan sebagai "tidak berasas" kerana tidak pernah dilaksanakan pada PRU sebelum ini.

Liew, yang bertanding di Iskandar Puteri di Johor, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan peraturan sedemikian supaya calon yang bertanding dapat bertemu dengan lebih ramai pengundi.

“Peraturan ini bukan sahaja menyukarkan calon untuk bertemu pengundi dan menjejaskan kelancaran kempen, malah ia juga membebankan SPR serta pegawai dan kakitangan polis dengan birokrasi berlebihan,” katanya.