CIJ gesa jelaskan skop pasukan petugas berita palsu K-Komm
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa menteri komunikasi dan multimedia (K-Komm) sementara Annuar Musa untuk menjelaskan bagaimana pasukan petugas siber akan beroperasi untuk memantau berita palsu di media sosial pada pilihan raya umum (PRU) ini.
Pengarah eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu, dalam satu kenyataan hari ini, menggesa Annuar untuk menentukan definisi dan skop berita palsu yang diterima pakai oleh pasukan petugas itu.
Dia juga menggesa Annuar menjelaskan proses pasukan petugas itu untuk mengenal pasti berita palsu.
"Sebarang penggunaan pasukan petugas secara sewenang-wenangnya dan tidak dikawal akan bertentangan dengan norma asas kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan piawaian antarabangsa kita, yang dengan jelas menetapkan bahawa orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui, mencari dan menerima, selain untuk menyampaikan idea dan maklumat dalam semua jenis.
"Sebarang sekatan hak tersebut mestilah berdasarkan undang-undang, atas keperluan dan berkadar," kata Wathshlah.
Dia turut mengetengahkan kebimbangan mengenai tahap penglibatan antara pasukan petugas dan syarikat media sosial sekiranya berlaku pengalihan keluar kandungan yang salah.
CIJ juga bertanya apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk mencegah penyalahgunaan pasukan petugas sebagai alat untuk agenda politik dan memastikan ia akan kekal tidak berat sebelah.
“Tumpuan mesti diberikan untuk mendidik orang ramai. Kerajaan harus menyokong penyiaran perkhidmatan awam yang boleh dipercayai supaya orang ramai dapat menyemak sumber berita yang dipercayai,” katanya.
Pada 11 Nov, Annuar melancarkan pasukan petugas siber yang yang terdiri daripada lebih 100 anggota polis dan kementerian.
"Nak tunggu laporan dan menyiasat adalah tidak sesuai waktu pilihan raya ini kerana kalau calon yang menjadi mangsa (berita palsu), jadi teraniayalah calon itu.
"Oleh itu, 'task force' ini dibenarkan mengambil tindakan serta-merta," kata Annuar.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/4b9be1207d71d8b0d735f9b39cb21f83.jpg)
