Amanah Kedah membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda PAS Sik Mohd Shahiful Mohd Nasir susulan kenyataan yang didakwa berbaur takfiri (sikap seseseorang yang mudah menuduh orang lain keluar dari Islam).

Pemangku Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh berkata, laporan itu bertujuan agar pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan kerana kenyataan Mohd Shahiful (gambar atas) merupakan satu ancaman yang membawa kepada jalur pemikiran takfiri.

"Ketua Pemuda PAS kawasan Sik dalam kenyataannya kata semua pengundi kena undi Perikatan Nasional (PN), kalau undi BN atau PH akan masuk neraka.

"Dalam konteks memilih parti politik dia meletakkan sesiapa yang memilih selain daripada PN akan masuk neraka. Inilah bentuk doktrin dan pemikiran, bentuk bagaimana mereka berfikir terhadap orang lain," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar, Kedah, hari ini.

Terdahulu tular satu rakaman video ceramah kempennya memaparkan Mohd Shahiful meminta pengundi di kawasan itu supaya mengundi PN dan menurutnya, jika pengundi memilih BN atau PH akan masuk neraka.

"Pesan saya kepada semua pengundi-pengundi di Sik yang nak mengundi, balik pangkah BN dan PH masuk api neraka," kata Mohd Shahiful pada klip video itu.

Dia kemudiannya tampil memohon maaf kepada pihak yang tersinggung susulan kenyataannya itu.

Sementara itu Ismail berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama dan Hal Ehwal Islam dan perlu diambil tindakan tegas.

Menurutnya kenyataan seumpama itu bukanlah kes terpencil yang bersifat secara tidak sengaja sebaliknya ia berpunca daripada pemikiran kepimpinan PAS sejak sekian lama.

"Ini bermula daripada (pimpinan) atasan PAS lagi, kalau kita tengok beberapa kenyataan daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri, dia menyebut siapa yang mengundi PH adalah mereka yang tidak beriman.

"Kalau kita ingat ini bukan perkara baru sejak 1980-an lagi. Kalau kita ingat apa yang disebut sebagai 'Amanat Haji Hadi' yang mempunyai jalur pemikiran takfiri yang dengan senang menghukum orang, mengtakfiri orang, senang untuk meletakkan seseorang dalam suatu kesalahan," katanya.

Tambah ahli dewan undangan negeri (Adun) Pengkalan Kundor itu, dalam konteks sekarang, perkara itu dijadikan bahan kempen PRU ke-15 sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Dalam konteks pilihan raya kali ini ia menjadikan kempen pilihan raya sebagai tempat untuk mereka melemparkan fitnah dan tindakan takfiri kepada mereka yang tidak bersama PN.

"Walaupun dia meminta maaf tetapi dia tidak menarik balik kenyataan itu. Kita minta polis terus menyiasat kerana ini membawa ancaman dengan pemikiran takfiri.

“Ia juga menimulkan keresahan di kalangan orang Islam susulan kenyataan itu dikaitkan dengan agama, syurga dan neraka," katanya yang turut akan membuat laporan kepada Jabatan Mufti Kedah.