Umno yakin dapat tawan semula kubu kuat Muhyiddin di Pagoh
PRU15 | Umno yakin dapat menawan semula kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata ahli majlis tertinggi parti itu, Ahmad Shabery Cheek.
Menurutnya, ini kerana Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan partinya Bersatu semakin hilang populariti dalam kalangan pengundi khususnya kaum Cina.
"Kita tahu antara sebabnya, kerana dahulu Tan Sri Muhyiddin bergantung banyak pada undi-undi Cina tetapi Bersatu bukan lagi parti yang mendapat sokongan daripada undi Cina,” kata Shabery pada sidang media di ibu pejabat BN di Kuala Lumpur petang tadi.
Shabery berkata PAS, yang kini sebahagian daripada PN hilang wang deposit di Pagoh pada PRU14, dan oleh itu, PN tidak boleh bergantung kepada parti Islam itu.
"Jadi satu fenomena kita akan lihat, Bersatu kemungkinan akan berhadapan Bersatu hilang kepimpinan mereka selepas pilihan raya ini," katanya lagi.
Pada PRU14, Muhyiddin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya selama beberapa penggal dengan majoriti 6,927 undi.
Muhyiddin sebelum ini berkata PRU15 akan menjadi pilihan raya terakhir yang akan disertainya.
Dalam pada itu Sabery turut melahirkan keyakinan BN mampu menawan kerusi Parlimen Titiwangsa dan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah melalui kemenangan di 112 kerusi parlimen.
BN mempertaruhkan Johari Ghani, yang berkhidmat sebagai ahli parlimen sepenggal di Titiwangsa (dari 2013-2018) untuk berdepan tiga lagi calon iaitu Khalid Samad (PH); Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) dan Dr Rosni Adam (PN).
Di Pagoh, gabungan itu mempertaruhkan bekas Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim untuk menentang Muhyiddin, yang merupakan ahli parlimen di kerusi berkenaan selama beberapa penggal.
/file/1191/8b36b8f61f40a040d36744dc49c25e63.jpeg)
