PRU15 | Sekumpulan calon pilihan raya berbangsa Melayu daripada DAP meminta Presiden PAS, Abdul Hadi Awang supaya berhenti memperlekeh kebijaksanaan pengundi Melayu-Islam dalam memilih pemimpin mereka.

Calon-calon DAP berkenaan mengingatkan Abdul Hadi bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memilih wakil rakyat berdasarkan kaum dan agama, sebaliknya berdasarkan prestasi mereka.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas Abdul Hadi terus menyerang PH apabila mengaitkan gabungan itu dengan fahaman komunis, LGBT dan antituhan.

"Hadi Awang terus memandang rendah keupayaan berfikir pengundi Melayu Islam dalam memilih pemimpin dan wakil rakyat mereka.

"Presiden PAS perlu sedar bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memilih wakil rakyat mereka hanya berdasarkan kaum dan agama calon yang bertanding.

"Pengundi Melayu Islam akan memilih calon Melayu daripada DAP bukan hanya kerana mereka Melayu Islam sebaliknya berdasarkan prestasi dan khidmat wakil-wakil rakyat DAP,” kata kenyataan tersebut.

Tambah mereka, sikap PAS menyebabkan parti itu hanya tahu menggunakan sentimen kaum dan agama untuk memenangi pilihan raya berbanding mengemukakan calon yang berkaliber dan menengahkan polisi yang baik bagi menyelesaikan masalah rakyat.

"Walaupun DAP tidak banyak bertembung dengan calon daripada PAS, PAS terus merasakan bahawa DAP adalah seteru politik utama mereka.

"Mungkin presiden PAS dapat melihat gelombang sokongan pengundi kepada DAP dan Pakatan Harapan yang memungkinkan mereka hilang kuasa dan jawatan yang sudah beraja di hati mereka,” kata mereka.

Kenyataan bersama dikeluarkan oleh Zulhazmi Shariff (Parlimen Jerai), Khairil Khalid (DUN Pulau Manis), Syerleena Abdul Rashid (Parlimen Bukit Bendera), Tarmizi Mohd Jam (Parlimen Gerik), Young Syefura Othman (Parlimen Bentong), Syahredzan Johan (Parlimen Bangi), Sheikh Omar (Parlimen Ayer Hitam), Fatin Zulaikha Zaidi (Parlimen Mersing) dan Shazwan Zdainal Abidin (Parlimen Pontian).

Abdul Hadi ketika berucap dalam satu majlis di Temerloh, Pahang baru-baru ini mengaitkan PH dengan fahaman komunis, antiTuhan, liberal dan LGBT.

Presiden PAS itu turut mendakwa PH dan BN sebagai gabungan yang mempunyai pelbagai masalah, termasuk rasuah yang tidak terkawal.

“Parti dalam PH ini macam-macam jenis ada, yang komunis ada, yang antituhan pun ada, yang liberal pun ada, LGBT pun ada, yang bagi rasuah pun ada, yang terima rasuah pun ada.

“Semua ada dalam parti mereka, ini menjadi satu masalah,” katanya.

Kenyataan itu mendorong bekas Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membuat laporan polis dan menggesa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 499, 504 dan 505 Kanun Keseksaan serta Akta Hasutan, kerana membuat tuduhan tanpa bukti.