Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beberapa kawasan di Johor dilanda banjir kilat semalam
Diterbitkan:  Nov 13, 2022 10:09 AM
Dikemaskini: 2:09 AM

Beberapa kawasan di Johor mengalami banjir kilat petang semalam berikutan hujan lebat beberapa jam, seperti di Kulai, Kota Tinggi dan Kluang.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor berkata banjir kilat berlaku sekitar 4.40 petang di Kampung Baru Sengkang, Kulai, kira-kira 7.30 malam di Kampung Lukut, Kota Tinggi dan sekitar 8.30 malam di Kampung Ithnin Maarof, Kluang.

Pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di Dewan Kampung Baru Sengkang dan Dewan Raya Kampung Murni di Kulai berikutan banjir kilat di kampung itu, kata APM dalam siri catatan Facebook mengenai kemas kini banjir di negeri ini malam tadi.

Sementara itu, APM berkata pihaknya menghantar satu pasukan ke Kampung Ithnin Maarof, Kluang selepas menerima panggilan daripada ketua kampung berkenaan banjir kilat.

Mereka mendapati lima rumah rosak akibat banjir di kampung itu.

Di Kampung Lukut, Kota Tinggi, APM berkata paras air kini terkawal dan tiada keperluan lagi untuk membuka sebarang PPS di kawasan itu.

Penyandang parlimen Kulai Teo Nie Ching (kanan)

Penyandang parlimen Kulai, Teo Nie Ching, yang akan mempertahankan kerusinya pada PRU-15, berkata dia membatalkan acara kempennya di Ulu Choh dan Tanjung Piai malam tadi untuk melawat mangsa banjir di PPS.

Menurut Teo, dalam catatan Facebook malam tadi, 29 keluarga melibatkan seramai 125 individu ditempatkan di PPS Kampung Melayu Sengkang.

“Dengan bantuan sukarelawan daripada pasukan saya, kami baru sahaja menghantar air mineral, lampin dewasa dan bayi, ubat untuk kanak-kanak dan dewasa, biskut, selipar, dan peralatan mandian untuk mereka semua.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua penyokong Pakatan Harapan (PH) yang menunggu saya di Ulu Choh dan Tanjung Piai,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook malam tadi.

Chua Jian Boon melawat kawasan banjir di Kulai

Lawannya dari BN, Chua Jian Boon, juga menyiarkan di Facebook bahawa dia melawat kawasan banjir di Kulai.

“Banjir berlaku, Chua dalam perjalanan ke tanah. Susah senang bersama, kita akan berdiri bersama. Untuk rakyat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS