Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tiada kuasa runding kerjasama dengan Anwar, kata Nazri

Veteran Umno Nazri Abdul Aziz berkata bahawa adalah mustahil untuk Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berakhir tanpa mana-mana gabungan atau parti memiliki majoriti - membawa kepada parlimen tergantung.

Bercakap kepada Malaysiakini, bekas ahli parlimen Padang Rengas selama lima penggal itu berkata presiden parti Ahmad Zahid Hamidi tidak ada kuasa untuk mengadakan sebarang rundingan dengan pihak lain.

"Umno yang merupakan tunjang kepada BN masih lagi ada usul 'no DAP, no Anwar'. Presiden Zahid tidak ada mandat atau kuasa untuk nak jumpa dengan Anwar nak berunding.

"Bagi saya rasa tidak mungkin dan dari segi Umno sendiri pun DAP ini merupakan satu musuh ketat.

"Jadi, Zahid silap besar jika dia fikir bahawa ada kuasa untuk menentukan hala tuju ahli parlimen BN yang menang pada PRU 15," katanya kepada Malaysiakini.

Anwar Ibrahim dan Nazri Aziz

Sebelum ini Presiden PAS, Abdul Hadi mendakwa wujud muslihat antara Umno serta BN dan PH dengan memastikan BN menang kurang kerusi untuk memberi kemenangan besar kepada PH.

Dakwa Abdul Hadi, strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut membuat tuduhan serupa terhadap PH dan BN.

Paksa tandatangan SD satu jenayah

Sementara itu, Nazri berkata bahawa sebarang usaha untuk memaksa ahli parlimen BN untuk menandatangani surat aku janji (SD) satu jenayah.

"Ada cerita yang mengatakan bahawa kita ada calon-calon yang diminta tandatangan apa perjanjian- maknanya esok dia boleh mewakili mereka untuk mengadakan sebarang rundingan.

"Ia satu tindakan jenayah bodoh untuk mengawal calon. Selepas mereka jadi ahli parlimen, kamu tidak boleh kawal mereka dengan memaksa menandatangani yang jelas melanggar hak mereka. Itu satu jenayah.

"Boleh dikenakan penjara tujuh tahun di bawah Akta Kanun Keseksaan," katanya.

Anggota parlimen Padang Rengas yang enggan bertanding lagi itu mengulas mengenai dakwaan calon-calon BN diminta menandatangani SD.

Nazri bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada benar wujud dokumen sedemikian.

Sebelum ini, terdapat dokumen yang menghendaki calon memberi kuasa kepada Zahid untuk memutuskan kedudukan dalam kabinet.

Salinan yang beredar di media sosial itu juga mengatakan mereka mesti menyokong Zahid sebagai perdana menteri dan membenarkan Umno mempertimbangkan kerjasama dengan parti lain.

Umno menyifatkan dokumen itu sebagai palsu.

Menurut Nazri, sekiranya parlimen tergantung, kuasa adalah di tangan Yang dipertuan Agong.

"Jangan lupa benda itu, esok Tuanku akan tanya setiap ahli parlimen. Seri Paduka tak terima sesiapa mewakili mereka.

"Tuanku juga akan tanya setiap orang dan ahli parlimen tidak boleh dirangkum sebagai satu kumpulan dan diberikan kuasa kepada presiden parti untuk tarik mereka menyokong. Jadi kerja minta tandatangan SD ini satu kerja bodoh," katanya.

Lihat Komen
ADS