Seramai 2,388 mangsa banjir daripada 726 keluarga sedang berlindung di 25 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri Semananjung, maklum Agensi Pengurusan Bencana Negeri (Nadma) Jabatan Perdana Menteri.

Nadma berkata ia membabitkan 10 daerah di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Kelantan, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS, kata Nadma juga meningkat daripada 1,359 kepada 2,388 dalam tempoh 24 jam.

"Peningkatan mangsa signifikan ditunjukkan di daerah Pasir Mas, Kelantan manakala PPS lain di enam negeri lagi menunjukkan penurunan dan tidak berubah," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 3 petang tadi telah mengeluarkan notis siap siaga kemungkinan banjir kilat untuk beberapa kawasan di Terengganu, Selangor, Pualau Pinang, Perak, Kedah, Johor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Nadma memaklumkan supaya penduduk di kawasan sekitar "bersiapsiaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan."