Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata pemimpin parti yang tidak dicalonkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU 15) masih ada peluang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Bagaimanapun, presiden Umno itu meletakkan syarat bahawa mereka yang ingin bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) harus merebut peluang itu dengan memenangkan calon BN yang bertanding di kawasan parlimen masing-masing.

"Peluang masih ada terutamanya bagi negeri- negeri yang masih tidak dibubarkan DUN.

"Maka, peluang itu harus direbut dengan memenangkan calon parlimen BN," katanya melalui hantaran di Telegram, hari ini.

Umno pada kali ini menggugurkan beberapa nama besar, antaranya Shahidan Kassim, Zahidi Zainul Abidin, Annuar Musa, Noh Omar dan Tajuddin Abdul Rahman.

Susulan itu, Shahidan bertanding di kerusi Arau sebagai calon PN manakala Zahidi bertanding di kerusi Padang Besar sebagai calon bebas.

Pun begitu, Annuar, Noh dan Tajuddin mengambil keputusan untuk tidak meninggalkan parti dan turun membantu kempen calon BN.

PRU kali ini dijalankan serentak dengan pengundian memilih wakil rakyat di DUN Perlis, Pahang dan Perak.

Ini selepas Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan tidak membubarkan DUN bersama-sama parlimen.

Kesemua negeri ini mempunyai tempoh sehingga tahun depan untuk mengadakan pemilihan.

Selain itu, Melaka, Johor, Sabah turut tidak membubarkan DUN setelah mengadakan PRN lebih awal.

Sarawak pula sentiasa mengadakan pemilihan DUN secara berasingan.

Sementara itu, Zahid yang juga calon BN di kerusi parlimen Bagan Datuk berkata dia berpuas hati dengan perjalanan jentera parti.

"Daripada hari penamaan calon sehingga hari ini saya berpuas hati dengan perjalanan jentera parti sama ada di peringkat negeri dan di peringkat PDM (pusat daerah mengundi) dan setengah-setengahnya di peringkat cawangan.

"Pada keseluruhannya di berjalan lancar, biar pun terdapat beberapa kekangan yang telah kami atasi kerana perubahan-perubahan calon di kawasan tertentu.

"Namun, setelah hakikat itu telah diterima oleh mereka kita telah bergerak sebagai ahli parti sebagai orang Umno dan BN. Mereka sanggup untuk mengetepikan untuk sebarang perbezaan pendapat atau rasa kecil hati dan mereka bergerak dalam jentera," katanya.

Tambahnya, ada pemimpin yang tidak dicalonkan menjadi pencadang dan penyokong serta mengetuai jentera di kawasan masing-masing.