Kerajaan gagal dalam usahanya untuk melucutkanhak wang tunai, barangan kemas serta aset bernilai RM80 juta yang didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB, yang dirampas daripada Pavilion Residences pada 2018.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak saman ke atas Obyu Holdings Sdn Bhd, yang unit kondominiumnya di Kuala Lumpur itu diserbu dan disita.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menerusi penghakiman ringkasnya, mendapati pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan barang disita, adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram dan menyalahi undang-undang.

Harta itu membabitkan barangan kemas, jam tangan dan beg tangan yang disita dari sebuah unit di Pavilion Residence milik Obyu Holdings pada 17 Mei 2018.

Jam tangan itu turut dituntut oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak, manakala isterinya, Rosmah Mansor menuntut barang kemas dan beg tangan berkenaan.

Obyu adalah responden tunggal dalam saman pelucuthakan berkaitan 1MDB kerajaan. Najib dan Rosmah serta tukang emas Lubnan Global Royalty Trading SAL adalah penuntut pihak ketiga.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan hari ini gagal dalam permohonan untuk melucut hak 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon untuk melucut hak barangan tersebut yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata pemohon gagal membuktikan kesemua barangan yang disita itu adalah hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim itu turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan tersebut dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang didakwa milik Umno dan Najib. Bagaimanapun kerajaan gagal melucut hak wang itu.

Barangan tersebut didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Barangan kemas dan beg tangan didakwa milik Rosmah manakala jam tangan milik Najib.

Dalam keputusannya, Hakim Muhammad Jamil berkata pegawai penyiasat pengubahan wang haram Supt Foo Wei Min gagal membuktikan bahawa jam tangan yang disita itu hasil daripada pecah amanah atau harta curi.

“Perlakuan kesalahan predikat (aktiviti haram) tidak dibuktikan, maka tidak timbul isu bahawa jam tangan yang disita diperoleh berkaitan dengan perlakuan kesalahan predikat atau menggunakan penyelewengan dana 1MDB,” katanya.