Gerakan Media Merdeka (Geramm) meluahkan rasa kecewa terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan wartawan bertanya soalan kepada mereka dalam ‘sidang media’ baru-pihak ini.

Ketidakpuasan hati itu diluahkan susulan menerima aduan tentang sesi sidang media yang diadakan Putrajaya, pada 20 Oktober lalu yang tidak memberikan ruang kepada pihak wartawan yang hadir untuk bertanya soalan serta penjelasan berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-15.

“Tugas media adalah untuk bertanya, bukan hanya mendengar secara sehala dan melapor sesuai 'selera' yang punya acara,” kata Geramm menerusi kenyataan media.

Keadaan ini, kata gerakan itu akan melemahkan sistem demokrasi sekiranya SPR enggan membuka ruang untuk media mendapatkan penjelasan secara lebih lanjut yang mampu menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Geramm seterusnya mempersoal keperluan mengundang pihak media hadir secara fizikal sedangkan mereka tidak diberi peluang bertanya soalan.

“Geramm menegaskan tidak ada keperluan untuk menjemput media hadir secara fizikal sekiranya pihak SPR enggan melayan sebarang pertanyaan.

“Cukup dengan menghantar kenyataan bertulis atau sesi live online, akan lebih menjimatkan masa semua pihak.

“Pada masa yang sama, pihak pengurusan SPR turut boleh mengambil langkah proaktif untuk menyenaraikan soalan-soalan dari pihak media atau isu-isu dibangkitkan oleh pengundi,” kata Geramm.

Pada sidang media di Putrajaya itu, Pengerusi SPR Ghani Salleh sekadar memaklumkan tarikh-tarikh penting mengenai PRU15 dan tidak membenarkan sebarang soalan diajukan.

Sementara itu, Geramm berkata SPR masih belum menjelaskan tatacara terhadap pengundi yang positif Covid-19 untuk mengundi.

“Sehingga kini pihak SPR masih belum memberi sebarang penjelasan berkenaan prosedur mengundi bagi mana-mana individu yang disahkan positif Covid-19, susulan kenyataan dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah semalam,” katanya.