Anggota Jawatankuasa PilihanKhas Parlimen mengenai Integriti hari ini mengundi menentang keputusan pengerusinya membatalkan pertemuan dengan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor dan bekas pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Manan.

Selepas bermesyuarat selama 90 minit di Bangunan Parlimen pagi ini, Pengerusinya,Tan Sri Bernard Dompok (foto, kanan) memberitahu pemberita bahawa Zulkipli dan Ramli akan dipanggi bertemu jawatankuasa tersebut pada hari Khamis, 22 Mac.

"Jawatankuasa telah membincangkan (perkara itu) secara panjang lebar dan majoriti (daripada 12 anggotanya) berpandangan bahawa pertemuan itu tidak (harus dianggap sebagai subjudis)," katanya.

Keputusan hari ini memalukan Dompok seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sebelum ini mendakwa telah mendapatkan "keputusan majoriti" untuk membatalkan pertemuan tersebut atas alasan, antara lain, ianya subjudis.

Walaupun beliau mengelak menjawab soalan mengenai berhubung keputusan terbaru itu, malaysiakini difahamkan keputusan 8-3 dicapai yang menyokong pertemuan itu diteruskan.

Dompok, yang mempengerusikan mesyuarat itu, bagaimanapun, tidak turut mengundi.

Bekas KPN turut dipanggil?

Sebelum ini, jawatankuasa tersebut memutuskan untuk memanggil Zulkipli dan Ramli pada 27 Februari. Ianya diputuskan selepas Ramli membuat beberapa dakwaan rasuah dan salahlaku seksual terhadap Zulkipli.

Dakwaan tersebut yang telah dinafikan oleh Zulkipli terkandung dalam laporan yang ditulis oleh Ramli dan menghantarnya kepada beberapa pihak,termasuk Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.

Jawatankuasa tersebut mahu mendengar mengenainya daripada kedua belah pihak pagi ini, tetapi pertemuan itu dibatalkan 'ekoran perkembangan terbaru'.

Dompok memberi alasan ianya dibatalkan ekoran siastan polis sedang dijalankan serta saman yang difailkan oleh Ramli terhadap enam pihak, termasuk terhadap Zulkipli.

Jawatankuasa itu kemudiannya berdepan dengan tekanan daripada salah seorang anggotanya, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, dan memutuskan untuk menelitinya semula dalam mesyuarat pagi iin.

Dompok menjelaskan: "Bila saya membuat pengumuman (pembatalan pertemuan itu), saya telah meminta pandangan ahli-ahli Parlimen dan merasakan wujud persetujuan, mungkin, di tahap ini, tidak perlu untuk memanggil kedua-duanya menemui jawatankuasa ini.

Keterangan berasingan

"(Kemudiannya,) terdapat satu bantahan berhubung hakikat bahawa kami mengadakan pertemuan tersebut bukan untuk memutuskan isu berkenaan. Itulah sebabnya saya memanggil satu mesyuarat untuk membincangkan sama ada kami memang perlu untuk memanggil mereka berdua.

"Dan hari ini mereka (anggota jawatankuasa) membuat keputusan bahawa ia bagi kebaikan jawatankuasa ini untuk mendengar daripada kedua-dua mereka," katanya.

Menjawab soalan, Dompok berkata, jawatankuasa itu tidak memutuskan sama ada akan memanggil Mohd Bakri mengenai mengapa pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap laporan yang dihntar oleh Ramli sehinggalah dakwaan itu disiarkan oleh pihak media baru-baru ini.

"Mesyuarat hari ini hanya menyentuh soal tersebut (sama ada untuk memanggil Zulkipli dan Ramli), kami tidak memutuskan sama ada akan memanggil orang lain," jawabnya.

Ramli dan Zulkipli dijangka memberi keterangan secara berasingan, mulai jam 11.30 pagi dan dijangka mengambil masa sehari.

Sebelum ini terdapat satu duluan (precedent) mengenai subjudis apabila Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) diingatkan bahawa ia melakukan kesalahan menghina mahkamah jika ia menyiasat mengenai penggabungan antara ECM Libra Bhd dan Avenue Capital Resources Bhd.

Jawatankuasa tersebut, bagaimanapun, meneruskan sesi siasatannya. Ia menegaskan tidak timbul soal subjudis kerana ia didengar secara tertutup.

Sementara itu, sesi baru Parlimen akan bermula Isnin ini yang akan dirasmikan oleh Yang di-Petuan Agung yang baru, Sultan Mizan Zainal Abidin. Berita asal