PRU15 | Seramai 22,689 individu yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan akan mengundi awal dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Johor esok.

Ketua Polis negeri Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata daripada jumlah itu, seramai 11,544 orang merupakan warga PDRM.

“Sebanyak 63 pusat mengundi dengan 86 saluran akan disediakan dan proses undi awal akan dijalankan di premis-premis polis dan tentera.

“Ia termasuk Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, dewan-dewan ibu pejabat polis daerah, kem Pasukan Gerakan Am dan kem tentera,” katanya pada sidang media, di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata seramai 727 pegawai dan anggotanya pula terlibat undi pos.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata seramai lima individu ditahan sejak 5 Nov sehingga semalam di Johor, dengan 70 laporan polis dan 17 kertas siasatan dibuka berhubung kes perbuatan khianat terhadap bendera dan poster calon yang bertanding pada PRU15.

“Setakat ini juga sebanyak 1,927 permit (ceramah berkempen) telah diluluskan di seluruh Johor dan hanya lima permohonan ditolak,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh PRU15, sebanyak 81 pasukan Op Cantas Khas digerakkan melibatkan 81 pegawai dan 237 anggota yang berperanan melakukan risikan dan pemantauan bagi mengelakkan sebarang kekacauan.

Beliau turut berkata pihaknya akan menambah anggota di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi memastikan kelancaran di dua laluan masuk negara itu pada hari mengundi 19 Nov ini.

-Bernama