Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelas Demokrasi Fahmi Reza akhirnya berjalan lancar di universiti swasta

Selepas gagal meneruskan sesi Kelas Demokrasi di beberapa universiti, aktivis Fahmi Reza akhirnya dapat menjalankan program itu dengan lancar di sebuah universiti swasta di Subang Jaya, Selangor.

Program itu diadakan di perkarangan sudut pelajar (students corner) di Taylor’s University Lakeside Campus hari ini dan berjalan selama selama dua jam dengan kira-kira 100 pelajar yang hadir.

Berbekalkan beberapa papan putih kecil di depan pentas mini dan notanya, Fahmi memberi penerangan dan maklumat secara mudah difahami mengenai sistem pilihan raya di Malaysia.

Antara perkara yang disentuhnya adalah hala tuju parti politik dan gabungan yang bertanding, bagaimana undi dapat menentukan pemimpin negara, bagaimana sistem di Parlimen Malaysia berfungsi serta bagaimana sesuatu rang undang-undang dipinda dan diluluskan.

“Sabtu ini (19 Nov), mereka (calon-calon) minta kerja daripada kita dan ada juga yang nak (minta) renew kerja mereka daripada kita,” katanya yang mengibaratkan ahli politik dan calon seperti pekerja yang sedang mencari pekerjaan.

Dia memberitahu bahawa rakyat sebagai “majikan” mempunyai kuasa untuk menentukan jika pekerja tersebut mampu melaksanakan tanggungjawab berdasarkan portfolio mereka sebelum ini atau manifesto yang ditawarkan.

“Sebab kita rakyat kita ada kuasa. Rakyat adalah bos,” katanya lagi.

Fahmi pada mulanya mengadakan sesi penerangan itu di laman sosial TikTok sempena PRU15 sebelum dijemput oleh pelajar ekoran sambutan yang sangat menggalakkan.

Dua minggu lalu, dia mengadakan program itu secara fizikal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia selepas mendapat jemputan daripada pelajar.

Program di UKM dihentikan di pertengahan jalan menyebabkan Fahmi menyambung sesinya di sebuah kafe berhampiran dengan disertai beberapa belas pelajar.

Pada minggu lalu pula, program serupa yang diadakan di UiTM Shah Alam minggu lalu dihentikan atas arahan pengurusan tertinggi universiti walaupun mendapat bantahan dari pelajar.

Menurut perkongsian di Twitter, program itu juga didakwa tidak dapat diteruskan sehingga tamat di beberapa lagi universiti awam, antaranya Universiti Malaya, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Utara Malaysia namun diteruskan di luar kawasan universiti.

Penganjur program hari ini, Sharul Hafizi Fitri Sharul Azwan dari Suarakami berkata dia agak terkejut dengan sambutan pelajar.

Katanya, inisiatif itu dianjurkan bagi memupuk rasa ingin tahu berkenaan politik dalam kalangan golongan muda.

Sharul Hafizi

“Mereka (pelajar) kebanyakannya nak tahu pasal politik, tapi cuma ada halangan macam pengaruh daripada kawan yang tidak menghiraukan hal politik, tapi dengan kelas seperti ini membuatkan mereka berubah fikiran,” katanya kepada Malaysiakini.

Golongan muda antara faktor penentu dalam PRU kali ini, susulan pelaksanaan Undi 18 - penurunan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun - dan pendaftaran pengundi secara automatik.

Lihat Komen
ADS