Perbicaraan kes pecah amanah bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock dijangka dapat diselesaikan akhir April, kata Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir.

Beliau berkata demikian ketika menetapkan tarikh untuk menyambung perbicaraan kes itu pada 28 Mac hingga 30 Mac, selepas peguambela utama Datuk Muhammad Shafee Abdulllah memaklumkan pihaknya belum bersedia untuk menyoal balas saksi pendakwaan ke-23.

Muhammad Shafee berkata, beliau akan mengambil masa dua atau tiga hari untuk menyelesaikan soal balas terhadap pegawai penyiasat dari Badan Pencegah Rasuah Penolong Kanan Pesuruhjaya Han Chee Rull dan saksi pendakwaan yang lain sekiranya ada.

Menurut laporan Bernama, Eric Chia, 72, hadir di mahkamah hari ini.

Eric Chia yang juga bekas pengarah urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd., didakwa dengan curang meluluskan pembayaran RM76.4 juta ke akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd., Hong Kong, bagi bantuan teknikal untuk projek `Beam dan Section Mill Plant' di Gurun sedangkan tiada bayaran seperti itu yang patut dibuat

kepada NKK Corporation.

Secara alternatif, dia dituduh dengan curang melupuskan dana itu dengan memeterai satu perjanjian bersama NKK Corporation dan meluluskan bayaran jumlah itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill Development Sdn. Bhd.

Keterangan saksi

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu dalam bidang kuasanya sebagai pengarah urusan Perwaja Rolling Mill Sdn. Bhd., di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P. Ramlee di sini antara 4 Nov 1993 dan 22 Febr 1994.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Yusof Zainal Abiden dan DPP Nordin Hassan.

Pada 1 Mac lalu, Akhtar memutuskan pihak pendakwaan tidak boleh memasukkan keterangan lima saksi yang direkodkan di Jepun dalam perbicaraan ini, atas alasan keterangan yang dikumpul untuk dimasukkan oleh pendakwaan mengikut Seksyen 8 (3) Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (Macma) tidak memenuhi keperluan mengikut Akta Keterangan dan Kanun Prosedur Jenayah.

Keterangan dari Jepun itu amat mustahak kepada pihak pendakwaan dalam usaha membuktikan dakwaan pergerakan wang RM76.4 juta mempunyai kaitan dengan Chia terhadap kesalahan menyalahgunakan dana Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd pada 19 Februari 1994.

Pada 2004, mahkamah yang sama menolak permohonan pendakwaan untuk memasukkan keterangan lima saksi yang diambil di Mahkamah Majistret Hong Kong setahun sebelum itu.