Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU15: Abim saran sektor swasta juga beri cuti umum, gaji awal
Diterbitkan:  Nov 15, 2022 10:42 AM
Dikemaskini: 2:42 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyambut baik pengumuman kerajaan bahawa Jumaat, 18 Nov dan Sabtu, 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRU15.

Selain itu, Abim dalam satu kenyataan berkata, ketetepan kerajaan untuk diawalkan jadual penerimaan gaji kakitangan awam pada 17 Nov ini juga adalah satu perkembangan yang harus dipuji.

“Abim berpandangan, kedua-dua perkembangan ini adalah satu usaha menggalakkan penjawat awam untuk turun mengundi dalam Pilihan Raya Umum bertarikh 19 Nov ini.

“Justeru, Abim menyarankan agar pihak swasta untuk mengambil langkah yang sama bagi memastikan usaha menggalakkan rakyat mengundi ini mencapah kepada seluruh rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas,” kata presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Menurutnya, PRU adalah satu pesta demokrasi yang harus diraikan oleh semua dengan pelaksanaan hak dan tanggungjawab untuk memilih kerajaan yang bertanggung jawab.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Sabtu, 19 Nov itu diumumkan sebagai hari kelepasan am kerana terdapat kemungkinan syarikat-syarikat swasta, terutamanya kilang yang tidak tutup pada hari berkenaan, menyebabkan pekerja mereka tidak boleh mengundi.

“Hak mengundi adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan dan saya tidak mahu satu orang pun yang dihalang daripada mengundi,” katanya .

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala hari ini ialah hari pengundian awal.

Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi November 2022 diawalkan pada 17 hari bulan ini dan untuk pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 Nov.

“Ini diharapkan dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS