Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak Kementerian Sumber Manusia segera mewartakan 18 dan 19 Nov sebagai cuti umum agar syarikat tidak mengabaikan hak pekerja mereka untuk mengundi.

Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor menegaskan kelewatan mewartakan hari cuti akan memberi masalah kepada syarikat untuk menguatkuasakan cuti kerana boleh mengganggu operasi mereka.

“Ada syarikat cuba untuk menangguhkan cuti pada hari pengundian (19 Nov) dengan memberi hari gantian pada hari lain.

“MTUC mengutuk kelakuan itu dan dianggap tidak patriotik. Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan syarikat termasuk dengan membatalkan lesen operasi mereka,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 18 dan 19 Nov ini sebagai cuti umum bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya umum ke-15.

Namun begitu, semakan Malaysiakini sehingga 10 pagi tadi menunjukkan cuti itu masih belum diwartakan.

Kamarul Baharin menyifatkan 16 juta orang tenaga kerja negara ini adalah penentu parti politik/gabungan membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Justeru, parti politik mesti mengutamakan pekerja dan berjanji kebajikan mereka terpelihara,” katanya.