Bekas perdana menteri Najib Razak melahirkan rasa kecewa kerana namanya masih digunakan sebagai "propaganda politik tidak berasas" walaupun kini dipenjarakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan peguamnya, Shafee & Co., Najib merujuk kepada dakwaan bahawa dia akan dibebaskan serta-merta melalui pengampunan sekiranya BN memenangi pilihan raya umum (PRU) pada Sabtu ini.

"Anak guam kami ingin menafikan sekerasnya dakwaan-dakwaan ini.

“Anak guam kami secara konsisten sejak permulaan perbicaraannya pada 2018, mahu dibebaskan melalui proses kehakiman di mahkamah kerana bukan sahaja beliau mahu mendapatkan kebebasan tetapi membuktikan integriti dan legasinya.

"Najib yakin peluangnya untuk dibebaskan dari penjara adalah melalui permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan sejajar dengan Peraturan 137 dan Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995," kata firma guaman itu.

Kata firma guaman itu lagi, permohonan Najib bagi semakan kehakiman secara khusus bersandarkan kepada asas bahawa proses dan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan ketika rayuannya, adalah menafikan hak perlembagaannya bagi pendengaran kehakiman yang adil.

Firma guaman itu mendakwa mereka tidak diberikan

peluang untuk bersedia secara mencukupi bagi proses rayuan menyebabkan peguam tidak dapat mengemukakan hujah bagi pembelaan di mahkamah pada prosiding sebelum ini.

"Jika semakan kehakiman ini cenderung kepada anak guam kami, anak guam kami akan memohon perbicaraan semula di bawah proses lebih adil dan seimbang bagi membuktikan kedudukan tidak bersalahnya di mana beliau akan menerima peluang dan ruang untuk kesnya termasuk mengemukakan fakta serta bukti yang sebelum ini tidak diperolehi pihak pembelaan ketika perbicaraan," katanya.

Shafee & Co juga berkata susulan penilakan sekatan media yang dimohon Najib sebelum permulaan perbicaraan SRC, Najib turut memohon kepada mahkamah bagi membolehkan

perbicaraannya distrim secara langsung dalam talian bagi membolehkan masyarakat meneliti proses perbicaraan.

Katanya, ia adalah amalan yang sudah dilaksanakan di pelbagai mahkamah di dunia, berbanding dengan hanya bergantung kepada laporan yang dibuat oleh media perdana.

"Anak guam kami kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan beliau tidak pernah menggunakan sesen pun dari RM42 juta bagi dirinya dan beliau tidak pernah meminta atau ditawarkan sebagaimana digambarkan dalam perbicaraan SRC.

"Malah, sebagaimana dicatatkan dalam perbicaraan, beliau

telah membelanjakan RM642 juta yang diterima dari akaun bank milik Kementerian Kewangan Arab Saudi bagi kegunaan inisiatif kebajikan atau melalui parti politik dan NGO, dan ini juga bukan untuk kegunaan diri sendiri.

"Anak guam kami turut menyatakan sekali lagi, beliau tidak pernah dan tidak akan meminta semua pertuduhannya digugurkan tanpa melalui proses kehakiman yang adil dan seimbang," kata firma guaman itu.

Shafee & Co juga menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah mendapati bahawa semua barang yang dirampas oleh polis dan SPRM pada 2018 semasa serbuan ke atas hartanah Najib di Langkak Duta dan Pavillion bukanlah hasil daripada aktiviti haram (termasuk 1MDB/SRC) tetapi lebih kepada hadiah yang diberikan kepadanya dan keluarganya selama beberapa dekad oleh pelbagai orang kenamaan, keluarga dan rakan-rakan.