Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan pilihanraya akan diadakan pada tahun ini.

Sambil menegaskan pilihanraya umum akan diadakan pada masa yang sesuai, Abdullah berkata, beliau bagaimanapun belum menetapkan bila akan mengadakannya kerana masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan.

"Kini telah wujud perasaan senang hati di kalangan rakyat tetapi kita mahu mereka supaya lebih senang hati lagi," katanya ketika diminta mengulas spekulasi pilihanraya umum akan diadakan tahun ini atau awal tahun depan.

Menurut laporan Bernama, Abdullah, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN selama lebih tiga jam di ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menyifatkan spekulasi seumpama itu sebagai perkara biasa kerana kerajaan sekarang "berada di pertengahan jalan penggal pilihanraya".

'Sedia hadapi pembangkang'

Pilihanraya umum lalu diadakan pada 2004 dan mandat kerajaan sekarang hanya akan berakhir pada 2009.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan BN perlu menepati janji-janjinya kepada rakyat dalam pilihanraya umum lalu, sambil menambah "manifesto tidak bermakna hanya untuk lima tahun sahaja".

"Manifesto kita pada pilihanraya lalu juga terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan semua program yang kita laksanakan adalah berdasarkan manifesto tersebut," katanya.

Abdullah juga berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini tidak membincangkan soal pengagihan kerusi antara 13 parti komponen BN untuk pilihanraya umum akan datang.

Katanya, mesyuarat itu juga tidak membincangkan mengenai rombakan Kabinet.

Ditanya mengenai parti-parti pembangkang yang telahpun memulakan persediaan untuk menghadapi pilihanraya umum, Abdullah berkata: "Kita bersedia untuk berhadapan dengan mereka pada bila-bila masa".