Pendakwa raya dalam kes perbicaraan melibatkan Najib Razak sedang berusaha membawa masuk rakaman audio perbualan yang didakwa antara bekas perdana menteri itu dan seorang pemimpin Timur Tengah.

Timbalan pendakwa raya, Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa rakaman audio itu adalah untuk mengukuhkan hujah pendakwaan mengenai kebergantungan tertuduh terhadap dakwaan menerima derma dari Arab.

Pendakwa raya memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa rakaman audio itu bukan untuk dijadikan eksibit tetapi sebaliknya untuk "tujuan pengenalan".

Sri Ram berkata ia hanya bagi membenarkan saksi pendakwaan memastikan sama ada salah satu suara dalam rakaman itu adalah milik Najib yang juga bekas menteri kewangan.

“Kami mengatakan kandungan rakaman pita (audio) dan transkrip itu akan sedikit sebanyak menyangkal bahawa tertuduh (Najib) menerima derma (Arab), bahawa dia berurusan dengan wang yang didermakan kepadanya,” kata DPP dalam hujah lisan sambil diperhatikan tertuduh dari kandang tertuduh.

Sri Ram juga berhujah bahawa rakaman audio itu bukan sahaja boleh diterima oleh mahkamah mengikut Seksyen 41A Akta SPRM 2009, tetapi ia masih boleh diterima tanpa mengira sama ada ia diperolehi secara “tidak wajar, tidak teratur atau secara tidak sah”.

Sebelum ini, dilaporkan pihak pembelaan bergantung kepada dakwaan yang Najib percaya bahawa dana yang masuk ke akaun banknya adalah daripada kerabat diraja Arab Saudi dan bukannya wang daripada 1MDB.

Ketua peguam bela tertuduh kemudian memaklumkan mahkamah bahawa mereka akan memberikan hujahan lisan minggu depan berhubung bantahan mereka terhadap penerimaan rakaman audio itu.

Pihak pembelaan sebelum ini bertegas, antara lain bahawa rakaman audio itu tidak boleh diterima, atas sebab ia melibatkan perbualan antara dua ketua negara, dan rakaman itu tidak diperoleh dengan betul.

Kes rasuah RM2.28 bilion membabitkan dana 1MDB akan disambung semula esok di hadapan hakim Sequerah.

Rakaman audio itu adalah sebahagian daripada pendedahan beberapa rakaman audio yang dikatakan melibatkan Najib dan personaliti lain yang berkaitan 1MDB yang didedahkan oleh ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya pada Januari 2020.

Tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram

Najib berhadapan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas menteri kewangan itu dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku dalam 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan beberapa individu lain dengan restu Najib.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan mendakwa Najib tidak mengetahui jenayah yang dilakukan dalam 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana yang lain.

Pengerusi penasihat BN itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu menolak rayuannya terhadap sabitan bersalah dalam kes rasuah SRC International melibatkan dana RM42 juta.

SRC merupakan anak syarikat 1MDB sebelum menjadi milik penuh MOF Inc.

Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus kepada SRC.