Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya bukan Jurassic Park' - Tengku Adnan nafi akan bayar pengundi RM300

PRU15 | Calon BN Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor meminta pihak lawan yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar bertanding secara sihat tanpa melontarkan fitnah.

Ini selepas tular dalam aplikasi WhatsApp yang mendakwa dia memberikan RM300 kepada pengundi luar Putrajaya.

“Itu adalah satu fitnah yang dilemparkan… saya tidak buat begitu.

“Saya berkeyakinan akan ada fitnah-fitnah, saya pun dah tengok ada video saya difitnah macam-macam… kononnya saya ‘jurasic park’lah, dah tualah tapi tak apa, saya masih bernyawa dan saya nak bantu negara, agama dan bangsa saya,” katanya seperti dilapor Umno-online.

Sementara itu, Bernama melaporkan satu laporan polis telah dibuat berhubung mesej yang tular itu.

Tengku Adnan berkata laporan polis dibuat semalam.

“Saya harap sesiapa yang ingin bertanding (PRU15) jangan main fitnah sembarangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di Putrajaya hari ini.

Tengku Adnan juga menegaskan BN serta dirinya tidak memberi sebarang bayaran kepada pengundi kerana ia melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Semalam, tular mesej menerusi WhatsApp yang meminta pengundi luar Parlimen Putrajaya mengisi borang tuntutan perjalanan untuk mendapatkan wang RM300.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan kes dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan menyekat pautan borang tuntutan perjalanan supaya tidak ditularkan.

-


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS