PRU15 | Bendahari agung BN, Hishammuddin Hussein menafikan dia bertemu pemimpin PAS atau Bersatu bagi membincangkan kerjasama selepas pilihan raya umum ke-15.

Dia berkata demikian selepas Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dilaporkan membuat dakwaan itu.

“Saya tak pernah jumpa pemimpin PAS ataupun Bersatu untuk membincangkan kerjasama selepas PRU15. (Ini) lagi satu fitnah tanpa bukti dari Anwar,” katanya di Twitter.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan Anwar mendakwa pemimpin BN termasuk Hishammuddin telah bertemu pemimpin PN untuk membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan selepas PRU.

Menurut Anwar ini kerana para pemimpin berkenaan menyedari gabungan masing-masing semakin ketinggalan dalam persaingan menjelang PRU15.

"Apa yang saya tahu, mereka ada berjumpa. Orang PAS; Bersatu ada berjumpa (Bendahari BN Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein) dan (Timbalan Pengerusi BN), Mat Hassan (Datuk Seri Mohamad Hassan).

"Mereka sudah mula berunding kerana dia tahu, dia sudah ke belakang.

"Jadi, kenapa tidak beritahu rakyat terang-terang?" katanya seperti dilapor Berita Harian ketika ketika program temu rapat pengundi di Sekinchan, Selangor hari ini.

"Jadi, semua cakap ...soal kutuk sana, kutuk sini, tolak Umno, Umno tolak PAS dan BERSATU, itu wayang kulit saja,” katanya.

'Diambil di luar konteks'

Anwar berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan malam tadi bahawa PN mungkin bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15, berikutan ramalan tiada mana-mana gabungan akan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin bagaimanapun menafikan dakwaan Takiyuddin, sambil menegaskan PN menyertai PRU15 bagi membentuk kerajaan sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan BN atau PH.

Muhyiddin berkata dia tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN ke arah membentuk kerajaan selepas PRU15.

Susulan itu, Takiyuddin mendakwa kenyataan asalnya telah “diambil di luar konteks” dan diberi tajuk yang mengelirukan pengundi.