RCI siasat institusi dana libatkan MIC jika PH menang - Kula
Pakatan Harapan (PH) berjanji akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap semua institusi berkaitan MIC sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Sabtu ini.
Antara institusi itu adalah pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic) selain isu berkaitan dakwaan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya).
Bekas menteri sumber manusia yang juga naib presiden PH, M Kulasegaran berkata masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi yang dikaitkan dengan MIC itu.
Berucap dalam ceramah di Kampung Tawas, Ipoh di Perak semalam, calon PH parlimen Ipoh Barat itu berkata pemimpin MIC yang dikaitkan dengan penyelewengan dan rasuah tidak akan terlepas jika PH akan menubuhkan semula kerajaan pusat.
"Jika PH menang pada PRU ke-15 ini, saya akan meminta perdana menteri baru kita Anwar Ibrahim untuk menubuhkan RCI membuat siasatan terhadap semua dakwaan dan penyelewengan melibatkan pemimpin-pemimpin MIC.
"Tiada sesiapa akan terlepas. Kalau kita mendapati mereka bersalah, mereka boleh teman 'bossku' (Najib Razak) di Penjara Kajang nanti," katanya di hadapan lebih 200 hadirin.
MIC menubuhkan Maika Holdings pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham - kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur - sesetengahnya ada yang membuat pinjaman dan menjual aset - selama bertahun-tahun.
Keadaan kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990-an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham mampu dibeli.
Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Sedic. Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak dengan matlamat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.
Sedic dibubarkan apabila BN tumbang pada PRU14 dan dijenamakan semula sebagai Mitra ketika pentadbiran kerajaan PH.
Selepas kerajaan PH tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.
Isu dana Mitra pula menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.
Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.
Sementara itu dalam kes Penjana Kerjaya, sebuah NGO baru-baru ini membuat laporan dan menyerahkan apa yang didakwa sebagai bukti kepada SPRM berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana program itu melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.
NGO itu turut menamakan beberapa pemimpin daripada MIC yang didakwa sebagai individu di sebalik penyelewengan itu.
Dalam pada itu, Kulasegaran berkata bahawa pengundi luar bandar bukan lagi penyokong kuat BN.
"Jangan ingat pengundi luar bandar ini tidak pandai.
"Mereka sedar kes rasuah pemimpin-pemimpin BN. Jangan anggap mereka bodoh," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/04/d232e8b8074a38fc718b1aa80500a14f.jpg)
