Isu pelantikan timbalan KP DBP dibawa ke mahkamah
Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan membawa kes pelantikan timbalan ketua pengarah DBP ke mahkamah akhirnya minggu ini kerana mendakwa ia tidak mengikut peraturan.
Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan membawa kes pelantikan timbalan ketua pengarah DBP ke mahkamah akhirnya minggu ini kerana mendakwa ia tidak mengikut peraturan.
DBP telah melantik Kamarulzaman Shaharudin awal Januari lalu bagi menggantikan Abu Bakar Mohamad yang bersara Disember lalu.
Yang Dipertua Kesatuan Pekerja DBP, Hasni Abas berkata, pihak peguam telah mengkaji kes tersebut dan mempunyai asas kukut untuk mengemukakan saman tersebut.
Bagaimanapun, kesatuan pekerja itu belum menetapkan sama ada saman itu akan difailkan di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Perusahaan.
Isu perlantikan Kamaruzaman Shaharudin sebagai timbalan ketua pengarah baru DBP dibantah keras oleh kesatuan kakitangannya yang mendakwa ia tidak dibuat mengikut peraturan.
Hasni berkata, Kamarulzaman merupakan kakitangan Kumpulan N, iaitu dari bahagian pentadbiran dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kesusasteraan dan penulisan.
"Sedangkan syarat untuk menjadi ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah DBP ialah mesti dari Kumpulan S, iaitu dari bahagian kesusasteraan," katanya..
Berikutan itu, ahli kesatuan pekerja telah mengadakan piket selama empat hari berturut-turut mulai 12 hingga 15 Februari lalu.
Surat tunjuk sebab
Isnin lalu, pihak pengurusan DBP telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 71 kakitangannya yang menyertai piket tersebut mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil ke atas mereka.
DBP memberi tempoh 14 hari untuk mereka menjawab surat tunjuk sebab tersebut atau dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat.
Sebelum itu, kata Hasni, kesatuan pekerja sepatutnya mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan DBP pada 27 Februari lalu tetapi dibatalkan di saat-saat akhir.
Beliau berkata, sehari sebelum itu Pengarah Komunikasi Korporat DBP, Salahuddin Abang Shukran menghantar pesanan ringkas (SMS) memberitahu bahawa perbincangan tersebut dibatalkan.
Mengenai surat tunjuk sebab yang dihantar oleh pengurusan DBP kepada pekerja terbabit, Hasni berkata, pihaknya dan kakitangan terbabit akan memberi jawapan yang standard.
Hasni berkata, beliau mendapat tahu Jabatan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia akan memanggil pihak pengusan DBP untuk mendapatkan penjelasan mengapa ia tidak menghiraukan bantahan kakitangannya terhadap pelantikan Kamaruzaman.
Minggu lalu, kata beliau, pihaknya telah menemui pegawai jabatan itu untuk memberi penerangan mengapa pekerja mengadakan piket membantah pelantikan Kamaruzaman.
"Pihak pengurusan tidak memandang serius bantahan pekerja dan ini menyebabkan moral mereka semakin menurun," katanya.

