'Tak masuk akal penyokong PH undi calon yang sudah meninggal'
PRU15 | Saranan Ketua biro undang-undang BN, Azalina Othman Said agar pengundian bagi kerusi parlimen Padang Serai diteruskan pada 19 Nov ini disifatkan mendahului Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata ,Azalina tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seolah olah menekan SPR untuk meneruskan pengundian di kerusi parlimen itu selepas kematian calon PH, M Karupaiya.
"Apakah Azalina akan mengeluarkan kenyataan yang sama sekiranya calon yang meninggal itu ialah penyandang kerusi Umno/BN?
"Biarlah menang secara berdepan bukannya melalui pukulan curi atau pintu belakang," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu Azalina yang juga bekas menteri undang-undang berkata pengundian di Padang Serai wajar diteruskan susulan timbul ketidakpastian berikutan kematian Karupaiya semalam.

Azalina berkata Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) menetapkan pengundian semula diadakan dalam kes seumpamanya hanya sekiranya pengundian belum bermula.
Sedangkan, katanya, pengundian awal sudah berlangsung pada 7 Nov dan 15 Nov lalu di parlimen berkenaan.
Tidak ulangi insiden pemilihan di Pennsylvania
Bagaimanapun, Saifuddin mengingatkan Azalina supaya insiden pemilihan di Pennsylvania, Amerika Syarikat tidak berulang di Padang Serai.
"Calon Democrat Anthony “Tony” De Lucas meninggal 9 October tetapi kerana sudah ada undi pos dan undi awal, maka pilihan raya 9 November diteruskan.
"Keputusannya Anthony menang dengan mendapat 85% undi dan kini Suruhanjaya Pilihan Raya Amerika terpaksa mengadakan pilihan raya Pennsylvania sekali lagi," katanya.
Katanya, pilihan raya yang telus dan adil mestilah mengambil kira pelbagai aspek supaya integriti SPR tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Peraturan 11(6) Peraturan Pilihan Raya yang dipetik oleh Azalina tidak mewajibkan SPR meneruskan pengundian tetapi lebih berupa peraturan budi bicara SPR walaupun undian pos dan undian awal sudah berlaku.
"Keputusan SPR memanggil mesyuarat khas membincangkan kedudukan P017 Padang Serai dengan sendirinya menjelaskan SPR akan menggunakan budi bicara mereka menangguhkan pengundian di P017.
"Kalau Peraturan 11(6) itu wajib dipakai mesyuarat khas tidak diperlukan," katanya sambil menambah ramai pengundi luar yang menyokong PH tidak akan pulang mengundi selepas berita kematian Karupaiya diumumkan.
‘Apakah nama calon PH akan dipadam?’
Selain itu Saifuddin berkata kenyataan Azalina juga mengundang beberapa persoalan.
"Kalau pengundian diteruskan apakah nama calon PH akan dipadamkan daripada kertas undi atau dikekalkan?
“Kalau dipadamkan bermakna PH dinafikan haknya untuk mengekalkan kerusi Padang Serai yang dimilikinya selama tiga penggal (sejak PRU 2008).

"Kalau nama Karupaiya dikekalkan bermakna penyokong PH akan mengundi calon yang sudah meninggal dan ini sesuatu yang tidak masuk akal. Dan seandainya Karupaiya menang maka Pengurus Pilihan Raya P017 akan mengumumkan Karupaiya menang dengan majoriti sekian-sekian. Satu dunia akan tertawakan kita.
"Selepas pengumuman itu SPR akan terpaksa mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk memilih wakil rakyat yang hidup. BN nampaknya terdesak untuk menang sehingga Azalina terlepas pandang persoalan yang saya sebutkan di atas," katanya.
Katanya, keputusan yang paling masuk akal dan adil ialah menangguhkan pengundian P017 bagi memberi masa kepada PH memilih calon baru.
Menurutnya, tempoh berkenaan tidak lama dan berkemungkinan hanya mengambil masa seminggu atau dua minggu.
"Kita serahkan kepada budi bicara SPR sama ada hendak mengadakan semula undi pos dan undi awal. Saya harap penjelasan ini menepati amalan demokrasi yang juga diperjuangkan oleh Azalina,” kata Saifuddin.
Semalam, Karupaiya dilapor meninggal dunia, hanya dua hari sebelum tarikh mengundi Sabtu nanti.
Mendiang, berumur 69 tahun, merupakan ahli PKR dan memenangi kerusi itu pada PRU 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong dari MCA dan Muhammad Sobri Osman dari PAS.
Karupaiya dijadualkan menentang C Sivarraajh dari MIC dan tiga yang lain pada 19 Nov ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/05/0af3e0423cfd3195fc1ace43a0bd7f9b.jpg)
