PRU15 | Pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan kematian salah seorang calonnya.

Semakan Malaysiakini di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), MySPR Semak mendapati notis berbunyi: Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi P.017 Padang Serai ditangguhkan kerana kematian calon.

Notis itu dipaparkan di laman web berkenaan ketika semakan dilakukan dengan menggunakan butiran pengundi Padang Serai.

Parlimen Padang Serai sepatutnya menyaksikan pertandingan enam penjuru antara penyandang kerusi berkenaan, Karupaiya Mutusami (PKR) yang dijadual menentang Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Sivaraj Chandran (BN), Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Ananda AK.

Bagaimanapun, Karupaiya rebah semasa berkempen pada Isnin lalu dan meninggal dunia di Hospital Kulim pada hari berikutnya.

Ahli perniagaan dan bekas pegawai tentera itu berusia 69 tahun ketika menghembuskan nafas terakhir.

SPR dijadualkan bermesyuarat esok untuk memutuskan tarikh baru pilihan raya di Padang Serai.

Penangguhan itu bermakna majoriti mudah di parlimen berkurang kepada 111 kerusi parlimen dan bukannya 112, memandangkan hanya 221 kerusi dipertandingkan.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November ini, dengan pengundian awal telah pun berlangsung pada 15 Nov lalu termasuk di parlimen Padang Serai.

Sementara itu, Free Malaysia Today melaporkan pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Padang Serai telah memulangkan writ pilihan raya kepada SPR hari ini, susulan penangguhan itu.

Laporan itu mengatakan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan 11(6) menetapkan bahawa SPR boleh mengadakan pilihan raya kecil pada hari lain jika calon meninggal dunia.

“Ini hanya boleh dilakukan selepas RO mengendors alasan pilihan raya tidak dapat diadakan, seterusnya memulangkan writ itu kepada SPR,” menurut laporan itu.