Penyandang kerusi parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menafikan pihaknya menawarkan bayaran untuk pengundi yang pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka esok.

Dia berkata, penyebaran infografik oleh pihak tidak bertanggungjawab itu disedarinya hari ini.

"Saya menerima makluman melalui WhatsApp berkenaan satu poster infografik yang tersebar kononnya saya akan mengeluarkan bayaran balik mengundi.

"Bayaran itu didakwa akan dibuat di rumah saya pada malam 18 November (malam ini).

"Saya menafikan sekeras-kerasnya maklumat ini dan menegaskan bahawa ia adalah maklumat palsu," katanya melalui satu kenyataan media di Kuantan, petang ini.

Infografik itu juga menyebut bayaran RM250 akan dibuat kepada setiap pengundi dengan syarat pengundi menunjukkan kad pengenalan mereka.

Fuziah memberitahu penyebaran infografik itu adalah tindakan terdesak pihak lawan yang kini berada di ambang kekalahan.

Katanya, perkara itu juga dilakukan untuk mencemarkan kredibiliti dia sebagai ahli parlimen Kuantan sejak tiga penggal lalu.

"Saya yakin rakyat tidak akan terpedaya dengan taktik kotor ini kerana mereka (rakyat) yakin dengan integriti saya selama ini," katanya lagi.

Fuziah akan berdepan saingan empat penjuru dalam PRU15 bagi mempertahankan kerusi parlimen Kuantan yang dimenangi sejak pilihan raya umum ke-12.

Calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) itu akan dicabar calon Barisan Nasional (BN), Abd Hamid Nazahar, Wan Razali Wan Nor daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Pejuang, Anuar Tajuddin.

Dalam pilihan raya umum lalu, Fuziah memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,111 undi menewaskan calon PAS dan BN.