• Dikemas kini dengan berita penuh.

Khutbah Jumaat bagi negeri Perak hari ini menyeru supaya umat Islam menolak pemimpin yang terpalit dengan rasuah.

“Buktikan azam memerangi rasuah melalui kertas undi kita dengan menolak dan tidak memberikan undi kepada calon-calon yang memiliki imej rasuah atau terpalit dengan lumpur rasuah. 

“Buktikan tekad kita menolak rasuah, dengan tidak membenarkan diri kita boleh dibeli dengan sogokkan wang hingga kita memilih calon kerana dipengaruhi dengan sampul surat yang mengandungi wang,” menurut teks itu.

Sementara itu, khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) itu turut menjelaskan berkenaan pihak yang wajib dijauhi daripada diangkat sebagai pemimpin.

“Pertama: Orang-orang yang gemar mendengar atau mereka cipta berita palsu. 

“Kedua: Orang-orang yang suka memakan sumber yang haram seperti melakukan rasuah dan pecah amanah,” menurut khutbah.

Masjid negeri Perak, Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, gambar hiasan

Mengulas ciri-ciri pemimpin yang patut dipilih, khutbah berkata golongan itu harus berupaya mengangkat martabat dan memakmurkan negara, memiliki imej bersih dan bebas rasuah serta bukan “boneka atau patung yang mudah tunduk kepada tekanan”.

“Lakukan pilihan dengan hati, akal dan fikiran yang waras dengan menilai sifat, watak, sikap dan pendirian calon. 

“Pilihlah calon yang memiliki peribadi yang jujur dan ikhlas, memiliki akhlak dan budi pekerti mulia, berilmu dan berpengetahuan, mengamalkan gaya hidup sederhana serta tidak memperagakan kemewahan secara keterlaluan,” kata khutbah.

Sementara itu, khutbah turut menyeru kepada jemaah agar menunaikan tanggungjawab dengan tidak mensia-siakan pengundian esok.

Tambahan pula, kerajaan telah mengisytiharkan hari ini dan esok sebagai cuti umum.

“Sempurnakan rukun kenegaraan seorang rakyat; sempurnakan tanggungjawab fardu kifayah seorang Muslim; ikhlaskan niat menunaikan kewajipan fardu kifayah untuk pergi mengundi agar dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT,” jelas khutbah.

Rakyat Malaysia akan mengundi bagi memilih 222 kerusi parlimen esok. 

Pilihan raya umum ke-15 diadakan susulan nasihat perdana menteri Ismail Sabri Yaakob kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen, susulan gesaan berterusan daripada Umno.