Dapatkah PH jadikan Perak kunci ke Putrajaya?
PRU15 | Perebutan kerusi pilihan raya di Perak terus menimbulkan persoalan siapakah yang akan menjadi pemenang utama di negeri itu.
Ketiga-tiga gabungan - BN, PN dan PH mempamerkan kekuatan dan kelemahan masing-masing sejak dua minggu lalu.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, PH dijangka dapat mempertahankan 11 daripada 24 kerusi parlimen. Sebelas kerusi itu terdiri daripada kerusi majoriti bukan Melayu atau kawasan campuran.
Ini termasuk Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Teluk Intan, Taiping, Sungai Siput, Kampar, Beruas, Tanjong Malim, Gopeng dan Tambun, yang akan ditandingi pengerusi PH, Anwar Ibrahim.
Semasa ceramah-ceramah PH di kawasan bandar, pemimpin DAP dan PKR menonjolkan Anwar sebagai calon perdana menteri terbaik antara tiga gabungan itu.
Persepsi negatif di kalangan pengundi Cina terhadap Ahmad Zahid Hamidi dari BN dan Muhyiddin Yassin dari PN juga menjadi satu lagi kelebihan bagi PH.
Di kerusi majoriti Melayu di Tambun, Anwar kelihatan bersedia untuk meraih kemenangan dalam menentang calon PN, Ahmad Faizal Azumu walaupun Muhyiddin mendakwa PH membawa agenda ‘Yahudi dan Kristian'.

Faizal, yang merupakan orang nombor dua dalam Bersatu, hanya menjadi menteri besar Perak selama 28 bulan dan pengundi tahu serba sedikit mengenai sumbangan atau buah fikirannya untuk negeri itu.
Bagi 13 lagi kerusi parlimen, sekurang-kurangnya lima boleh dianggap sebagai kawasan "kelabu" termasuk Bagan Serai, Kuala Kangsar, Tapah, Lumut dan Bagan Datuk.
Bagaimanapun, tinjauan yang telah tersebar di media sosial oleh firma Invoke yang pro-PH mengatakan PH mungkin memenangi 15 kerusi, termasuk Kuala Kangsar dan Tapah.
Kajian itu juga mendapati PN akan mempertahankan Larut dan Bukit Gantang manakala BN akan memperolehi tujuh kerusi - Gerik, Lenggong, Bagan Serai, Padang Rengas, Parit, Pasir Salak dan Bagan Datuk.
Presiden BN, Ahmad Zahid Hamidi menghabiskan sebahagian besar masanya di Bagan Datuk dan tidak berkempen untuk calon lain daripada gabungan itu di Perak.
Bagaimanapun, adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan bahawa Bagan Datuk selamat untuk BN berpandukan kata-kata Zahid sendiri, yang "tidak mahu ada musang dalam reban ayam".
Presiden Umno itu, yang pertama kali memenangi kerusi itu pada 1995, berharap dapat meyakinkan pengundi untuk memilihnya semula walaupun dia kini berdepan dengan kes rasuah.

Sementara itu, kempen Anwar tertumpu kepada kerusi-kerusi yang disebutkan di atas kecuali Kuala Kangsar. Kehadirannya menarik ribuan orang, memberi isyarat kuat kepada seteru politiknya.
Walaupun PH bergantung kepada Anwar untuk menang di Perak, karisma dan pengaruhnya tidak memberi kesan yang ketara di bahagian utara negeri itu.
Pengaruh agama Islam bertapak kuat di Utara Perak yang menjadi kubu PAS di Pantai Barat. Kerusi-kerusi di situ juga merupakan kerusi majoriti Melayu dengan lebih 70 peratus kecuali Taiping dan Parit Buntar.
Pada PRU14, PAS bertanding secara solo di 21 daripada 24 kerusi parlimen dan masih mampu meraih kira-kira 13 peratus daripada jumlah undi tanpa hilang wang deposit.
Kali ini jentera PAS lebih kuat. Dana dan sumber tidak lagi menjadi masalah berikutan kerjasamanya dengan Bersatu dalam PN.
Dari Bukit Gantang ke Bagan Serai dan Larut, bendera dan kain rentang PN mendominasi landskap.
Agama jadi naratif menentang PH
Tiga kerusi itu ditandingi oleh calon heavyweight PN termasuk penyandangnya, Syed Abu Hussin Hafiz, Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Untuk menarik minat penyokong Melayu Islam, naratif PN tertumpu kepada menyerang Anwar dan PH dari sudut agama, dengan menggambarkan mereka sebagai liberal yang mempromosikan kebebasan yang boleh menggugat kedudukan orang Melayu dan Islam.
Satu lagi tuduhan yang biasa dimainkan ialah DAP yang kebanyakannya berbangsa Cina menguasai PH, manakala Umno, di bawah Zahid, bersedia untuk berganding bahu dengan mereka.
Dalam tempoh seminggu berkempen, Ketua Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Ketua Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menerima surat tuntutan daripada Anwar atas dakwaan fitnah.
Walaupun PN mungkin menawan beberapa kerusi di sebelah utara, PH dan BN kekal sebagai pesaing utama dari bahagian tengah ke selatan Perak.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini di bahagian selatan Perak, PH mendahului sekurang-kurangnya empat kerusi - Gopeng, Kampar, Teluk Intan dan Tanjung Malim.
Di Gopeng, Kampar dan Teluk Intan, pengundi bukan Melayu melebihi pengundi Melayu.
Pertandingan enam penjuru di Tanjung Malim, menjadi persaingan sengit antara penyandang kerusi berkenaan dari PH, Chan Lih Kang, timbalan presiden MCA, Dr Mah Hang Soon dan Nolee Radzi dari PN, yang juga bekas anggota exco kerajaan negeri.
Bagaimanapun, perpecahan undi Melayu dan sokongan padu daripada DUN Sungkai dijangka memihak kepada naib presiden PKR itu dalam usahanya mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kedua.
Satu lagi kerusi panas ialah Lumut, di mana penyandangnya dari Amanah, Hatta Ramli akan menentang Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir.
Pada pilihan raya umum lalu, Hatta menewaskan Zambry, yang juga menteri besar Perak ketika itu, dengan hanya 400 undi.

Pada PRU15, jumlah pengundi seramai 92,972 iaitu 25,000 lebih tinggi berbanding 2018, akan menentukan pemenang.
Sementara itu, Pasir Salak, yang pernah dianggap sebagai kubu kuat BN, kini diklasifikasikan sebagai kerusi "kelabu" selepas penyandangnya selama tiga penggal, Tajuddin Abdul Rahman digantikan dengan Khairul Azwan Harun.
Khairul, yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro, berdepan tiga pencabar termasuk Nik Omar dari PH, yang merupakan anak kepada Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dengan penyertaan PN, PH berharap dapat mengambil peluang daripada perpecahan undi Melayu.
Semasa ceramah di Kampar pada Rabu lalu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata jika PH dapat memperoleh sekurang-kurangnya 30 peratus sokongan Melayu, gabungan itu mempunyai peluang yang cerah untuk menawan Putrajaya.
PH juga menjangkakan formula yang sama di peringkat negeri, dengan sumber memberitahu Malaysiakini bahawa gabungan itu berharap memperoleh 35 daripada 59 kerusi DUN berikutan perpecahan undi Melayu.
“Namun, terdapat 10 kerusi yang masih samar-samar. Kita mesti berhati-hati dan menggesa jumlah keluar mengundi yang tinggi bagi memastikan kemenangan menjadi milik kita,” kata sumber itu.
Dapatkah Perak menjadi kunci bagi PH untuk ke Putrajaya?
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/01/3f3b002b1cddcadc815403c7646cbfde.jpg)
