Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa Perikatan Nasional (PN) “menang selesa” dalam pilihan raya umum kali ini.

“Alhamdulillah, kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan kemenangan selesa kepada PAS dan PN pada PRU15 ini berdasarkan keputusan tak rasmi,” katanya.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu pada masa ini. 

Berdasarkan kiraan portal ini setakat 11.44 malam ini, hanya keputusan di 104 daripada 222 kerusi diperoleh, dengan PH di depan dengan 41 kerusi.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur sebentar tadi, Hadi berkata “kemenangan” itu adalah hasil kerjasama semua anggota PAS dan PN yang bekerja keras sejak awal.

“Saya mewakili seluruh kepimpinan parti merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada PAS dan PN untuk tadbir negara sekali lagi,” katanya.

Dia juga berkata akan mula berbincang untuk membentuk kabinet.