Kerajaan Pahang juga tergantung
Kerajaan negeri Pahang tidak dapat dibentuk susulan keputusan pilihan raya umum semalam yang menunjukkan tidak ada mana-mana parti di negeri itu mendapat majoriti mudah.
Pahang yang pernah dianggap sebagai 'simpanan tetap' BN, menyaksikan PN menang 17 kerusi mengatasi BN yang memperoleh 16 kerusi.
Menurut pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya, PH merampas lapan kerusi di negeri itu berbanding sembilan kerusi pada pilihan raya umum ke-14.
Majoriti mudah sebanyak 21 kerusi perlu dicapai oleh mana-mana parti atau gabungan, untuk membentuk kerajaan negeri.
Sebanyak 42 kerusi DUN dipertandingkan semalam kecuali DUN Tioman berikutan kematian mengejut calon PN, Md Yunus Ramli, 61, beberapa jam sebelum hari pengundian.
Ini menyebabkan pemilihan DUN itu ditangguhkan kepada 7 Dis.
Daripada 17 kerusi, PN menang di Sungai Lembing, Tanjung Lumpur, Luit, Panching, Beserah, Pulau Manis, Chenor, Bukit Ibam, Damak, Pulau Tawar, Kuala Semantan, Kuala Sentul, Tahan, Jengka, Lanchang, Lepar dan Cheka,
BN berjaya mendapatkan kerusi seperti Kemayan, Jelai, Guai, Kerdau, dan Dong.
Selain itu BN juga menang kerusi DUN Muadzam Shah, Peramu Jaya, Chini, Inderapura, Benta, Jenderak, Sabai, Padang Tengku, Batu Talam, Pelangai, Bebar.
PH (yang tewas di DUN Sabai kepada BN pada PRU ini), menang di Triang, Tanah Rata, Bilut, Ketari, Tras, Semambu, Mentakab, dan Teruntum.
Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan menteri besar sementara dari BN, berjaya mempertahankan kerusinya di Jelai dengan majoriti 6,983 undi.
Kesemua 13 calon Pejuang hilang wang deposit di Pahang.
Kerusi Parlimen
Sementara itu, PN merampas empat kerusi parlimen daripada BN - iaitu Rompin, Kuala Krau, Jerantut dan Maran.
Gabungan itu juga menang di Kuantan, Indera Mahkota dan Temerloh.
BN hanya menang lima kerusi parlimen di negeri itu berbanding sembilan kerusi pada PRU14.
Ini termasuk Bera yang dipertahankan Ismail Sabri Yaakob, serta Cameron Highlands, Pekan, Paya Besar dan Lipis.
PH pula berjaya mempertahankan kerusi parlimennya di Raub dan Bentong.
Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah - yang pernah dilabel sebagai pengkhianat susulan Langkah Sheraton berjaya mempertahankan Indera Mahkota.
Bekas Presiden MCA, Liow Tiong Lai tidak bernasib baik apabila tewas kepada calon DAP, Young Syefura Othman di Bentong.
/file/1007/1b72532a569813d0464f9b2bd37b7fef.jpg)
