Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GPS sokong gabungan PN dan BN, Muhyiddin calon PM
Diterbitkan:  Nov 20, 2022 6:16 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mengumumkan, mereka bersetuju untuk bergabung dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Pengerusinya Abang Johari Openg dilaporkan Bernama sebagai berkata GPS juga bersetuju untuk mencalonkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri.

Berdasarkan keputusan PRU ke-15 semalam, GPS mempunyai 22 kerusi parlimen.

Dengan gabungan ketiga-tiga parti terbabit, ia membentuk 131 kerusi di Dewan Rakyat sekali gus melebihi jumlah minimum untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Terdahulu Abang Johari mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Kuala Lumpur. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Pada sidang media di Kuching, Sarawak, hari ini Abang Johari berkata keputusan itu dibuat untuk mengukuhkan dan menstabilkan negara demi memastikan kesejahteraan rakyat dan menjaga ekonomi.

Dia juga menegaskan kerjasama itu berdasarkan kepada semangat menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Ia juga melibatkan isu kebebasan beragama di Sarawak, autonomi untuk Sarawak dalam hal pendidikan dan kesihatan, serta isu-isu lain berkaitan kepentingan Sarawak.

Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang pengumuman atau kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak BN berhubung kerjasama tersebut.

Pada masa sama, perkembangan sebelum ini menampakkan wujud kumpulan tertentu dalam Umno dan BN yang menolak sebarang kerjasama dengan PH.

Lihat Komen
ADS