Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SEMAK FAKTA: Malaysiakini tak lapor MP Sarawak tolak PN
Diterbitkan:  Nov 21, 2022 2:12 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Tangkap layar yang menggunakan logo Malaysiakini dengan keterangan yang mendakwa 10 ahli parlimen Sarawak menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) adalah palsu.

Malaysiakini tidak memuat naik laporan sedemikian.

Imej itu, yang disebarkan secara meluas di WhatsApp, adalah suntingan yang menggunakan logo Malaysiakini dengan teks bukan dimuat naik portal ini.

Teks dalam imej itu mendakwa 10 ahli parlimen Sarawak mengadakan sidang media di Kuching untuk menolak kerjasama dengan PN, kerana tidak mahu bekerjasama dengan PAS yang merupakan parti komponen PN.

Bagaimanapun, teks itu dipenuhi dengan salah ejaan termasuk mengeja nama negeri sebagai "Serawak".

Sehingga jam 1.50 tengah hari ini, tiada ahli parlimen Sarawak membuat sebarang kenyataan membantah bergabung dengan PN untuk membentuk kerajaan.

Semalam, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata ia akan menyokong PN untuk membentuk kerajaan bersama BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ini selepas tiada pemenang jelas muncul dalam pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov.

Ketika laporan ini ditulis, rundingan untuk membentuk kerajaan masih dijalankan.


Malaysiakini adalah sebahagian daripada pakatan semakan fakta, JomCheck untuk membendung berita palsu.

JomCheckterdiri daripada organisasi media, ahli akademik dan masyarakat sivil. Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS