BN tak bincang tentang SD, kata presiden MIC
BN tidak pernah membincangkan berkaitan persediaan akuan berkanun (SD) berkaitan sokongan untuk pembentukan gabungan dan calon perdana menteri, kata SA Vigneswaran.
Justeru, kata presiden MIC, tiada sebarang persetujuan berkaitan perkara itu dibuat.
"Isu SD ini tidak pernah dibawa ke perhatian mesyuarat pucuk pimpinan BN kerana ia tidak pernah dibincang.
"Sebarang SD perlu mendapat persetujuan majlis pimpinan tertinggi BN. Baru ia sah.
"Sehingga tidak ada persetujuan majlis pimpinan tertinggi BN ia tidak sah," katanya kepada Malaysiakini.
Tambahnya, ini termasuk aku janji yang dibuat oleh setiap calon BN sebelum penamaan calon.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan bahawa SD selain yang ditandatangani semasa menjadi calon BN adalah tidak sah.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa calon BN menandatangani SD yang memberi kuasa kepada Zahid sebagai ketua BN mengadakan rundingan dengan parti-parti dalam pembentukan kerajaan baru.
Sekiranya calon BN yang menang melanggar perkara itu, mereka akan melepaskan keahlian dalam parti selaras dengan undang-undang larangan melompat parti.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengesahkan menerima SD daripada ahli parlimen BN yang menerimanya sebagai calon perdana menteri.
Sementara itu, Vigneswaran berkata bahawa BN akan mengadakan rundingan dengan PN dalam masa terdekat.
"Kami sudah mengadakan rundingan dengan PH hari ini. Akan mengadakan rundingan dengan PN dalam masa terdekat.
"Mungkin malam ini bersama (timbalan presiden Umno) Mat Hasan dan (Presiden MCA) Wee Ka Siong," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/81e16f8ca03937cac11ddf03cb3170ca.jpg)
