Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH tak sangka tapi pengundi Permatang Pauh tak terkejut

Sehinggalah pusat mengundi ditutup pada 19 Nov lalu, kempen PKR bagi calon Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dilihat tenang dan yakin.

Tambahan pula Nurul Izzah mempertahankan apa yang dilihat oleh ramai orang sebagai kerusi tradisi keluarganya, dengan ibu bapanya menang di kawasan itu sejak 1982.

Tidak seperti beberapa pilihan raya sebelum ini yang ditandingi kedua ibu bapanya di sana, di mana tentangan daripada pihak lawan jelas kelihatan, kempen di kawasan tanah besar Pulau Pinang itu kali ini berbeza.

Ini memberi gambaran bahawa segala-galanya berjalan lancar untuk dia mempertahankan kerusi berkenaan.

Tetapi apabila semakin banyak jumlah undi masuk dari pusat mengundi malam itu, mesej mula diterima bagi menggesa penyokong mendoakan Nurul Izzah.

Sekitar tengah malam, keputusan disahkan. Empat puluh tahun selepas mereka mengundi Anwar Ibrahim, pengundi Permatang Pauh kali ini menyingkirkan anak perempuannya di kerusi berkenaan.

Kemenangan itu diraih tokoh yang agak tidak dikenali di peringkat nasional, iaitu seorang pemimpin PAS tempatan dan pendakwah, Muhammad Fawwaz Muhammad Jan, 39, yang menang dengan majoriti 5,272 undi.

Dua hari kemudian, pemimpin-pemimpin dalam parti itu masih menggaru kepala mengenai gelombang hijau yang menghanyutkan Puteri Reformasi, dan melanda negeri utara Perlis dan Kedah, apabila Perikatan Nasional (PN) hanya tewas satu kerusi parlimen.

Fawwaz memperoleh 37,638 undi berbanding Nurul Izzah yang mendapat 32,366 undi. Calon BN, Mohd Zaidi Mohd menerima 16,971 undi manakala Nasir Othman dari Pejuang mendapat 473 undi.

Tidak menyangka kempen senyap PAS

Veteran PKR dan Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin, yang berkempen untuk Nurul Izzah kali ini, masih terkejut dengan kekalahan teruk penyandang kerusi berkenaan, lebih-lebih lagi tewas di tangan Fawwaz.

"Tiada satu insiden negatif, menunjukkan kemarahan, atau reaksi negatif daripada pengundi atau penyokong pembangkang," kata Norlela.

Nurul Izzah sendiri tidak hadir ketika Anwar berucap di Permatang Pauh - menunjukkan betapa yakin parti itu untuk menang. Anwar telah menghantarnya ke Bagan Datuk untuk berkempen di sana.

Norlela berkata, semasa kempen, petugas kempen Nurul Izzah juga tidak menyentuh mengenai PAS dan PN.

Mereka hanya menjawab serangan Zaidi dari BN dan gagal menyedari sokongan kepada PN semakin merebak dalam keadaan tenang.

“Kami tidak melihat Fawwaz sebagai ancaman yang besar.

“Apa yang saya ingin katakan ialah PAS mempunyai pengaruh yang besar di semua masjid dan pengundi, masyarakat Melayu khususnya telah terpengaruh ke tahap yang lebih besar,” tambahnya.

Norlela berkata golongan muda dan pengundi kali pertama di kawasan itu, di mana PAS mengendalikan beberapa sekolah dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan anak muda, juga menjadi faktor kemungkinan kekalahan itu.

Kedudukan PAS dalam pilihan raya 2018 mungkin menjadi sebab mengapa hanya sedikit perhatian diberikan kepada Fawwaz oleh kempen PH.

Pada PRU14, Afnan Hamimi Taib Azamudden dari PAS memperoleh hanya 20 peratus undi, menduduki tempat ketiga dalam pertandingan yang dimenangi Nurul Izzah, yang turut menewaskan Zaidi dari BN.

Malah, PAS hanya memenangi kerusi itu sekali sebelum ini, pada 1978, dan tidak pernah berjaya meraih lebih daripada satu perlima undi dalam enam kali PRU di sana.

Pengundi tidak terkejut

Pengundi yang ditemui Malaysiakini di Permatang Pauh semalam bagaimanapun tidak terkejut dengan keputusan itu.

Seorang penduduk di Taman Haji Amin berkata beliau dan jirannya sudah muak dilihat sebagai ‘bank undi’ untuk keluarga Anwar selepas mengundi mereka selama hampir 40 tahun.

Mereka juga sudah bosan mempunyai wakil rakyat dari Kuala Lumpur, yang mereka katakan lebih sukar untuk dihubungi berbanding dengan orang dari kawasan mereka.

Nurul Izzah, 42, bertanding di Permatang Pauh buat kali pertama pada 2018, selepas berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur, tempat dia menetap.

Pengundi yang enggan namanya didedahkan itu berkata, calon PN, Fawwaz menang di kerusi itu kerana dia anak tempatan Permatang Pasir.

Oleh itu, Fawwaz lebih mengenali penduduk tempatan dan kawasan berkenaan serta akan berada di sana untuk menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

“Apa salahnya memilih calon tempatan, kerana mereka akan berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik, berbanding seseorang yang terjun payung dari tempat lain?

“Ia sama ada ahli keluarga Anwar ditempatkan di sini atau mereka menerjunkan seseorang dari luar Pulau Pinang, seperti Afif Bahardin, yang akhirnya menjadi pengkhianat.

“Mengapa parti tidak boleh memilih seseorang daripada ahli majlis perbandaran dan mana-mana budak kampung untuk kerusi itu? Adakah anak lelaki kita tidak layak menjadi Adun atau Ahli Parlimen?” soal lelaki berusia 60 tahun itu.

Afif ialah Adun Seberang Jaya, kerusi DUN yang terletak dalam Permatang Pauh. Dia menang buat kali kedua atas tiket PKR pada 2018, tetapi berpaling tadah kepada Bersatu pada 2020.

Pesara polis, Abdul Razak Mohd Jani, 65, berkata penduduk Permatang Pauh tidak melihat sebarang perubahan selepas empat dekad menjadikan keluarga Anwar sebagai Ahli Parlimen mereka.

“Mereka sepatutnya meletakkan beberapa pemimpin tempatan untuk bertanding dalam pilihan raya. Ini adalah pengajaran kepada setiap parti di masa hadapan.

“Jangan sesekali memandang rendah rakyat, seolah-olah mereka tiada suara untuk didengari. Saya mengalu-alukan dan menghormati keputusan rakyat.

“Apa yang Anwar dan keluarganya buat di Permatang Pauh? Tiada apa yang boleh dibanggakan. Biarkan orang baru berkhidmat untuk rakyat,” kata Abdul Razak.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS