Dewan Tertinggi BN sedia berunding, nafi sokong Muhyiddin
Nota Editor: Laporan ini telah dikemas kini.
Dewan Tertinggi BN menegaskan bahawa tiada ahli parlimen mereka yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, Dewan Tertinggi BN dalam kenyataan media yang dikeluarkan setiausahanya, Zambry Abd Kadir berkata gabungan itu bersedia berbincang dengan pihak lain untuk membentuk kerajaan.
“Tiada mana-mana ahli parlimen BN yang telah memberikan sokongan terhadap pencalonan (Pengerusi Perikatan Nasional) Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10, dan pemakluman mengenai perkara ini telah dibuat kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Dewan Tertinggi juga mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Dengan pendirian dan keputusan yang dicapai, kedudukan Barisan Nasional adalah kekal seperti sekarang,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mendakwa Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan.
Ahli parlimen Bera itu berkata Dewan Tertinggi BN bersetuju untuk gabungan itu kekal sebagai pembangkang.
"Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.
"BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN). Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun sosial medianya.
Presiden MIC SA Vigneswaran dan timbalannya M Saravanan turut memaklumkan perkara sama.
“Kami tidak memilih sesiapa (sama ada PH atau PN). BN sedia menjadi pembangkang,” kata mereka ketika ditemui di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.
Politik Malaysia menyaksikan kebuntuan selepas tiada parti atau gabungan memperoleh majoriti mudah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 Sabtu lepas.
PH menang di 82 kerusi, PN 73 kerusi manakala BN mempunyai 30 kerusi. Susulan itu, pemimpin PH dan BN mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific semalam bagi merangka persetujuan untuk bekerjasama.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/df748ccd11f01120548aeb36a1ed83d5.jpg)
