Sayap wanita Bersatu (Srikandi) menggesa polis menyiasat Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh atas dakwaan menghasut.

Ini selepas catatan Facebook Yeoh semalam, yang menggesa rakyat Sabah dan Sarawak menolak gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Srikandi Bersatu membantah kenyataan Hannah Yeoh yang dimuat naik pada 21 November 2022 dalam Facebook beliau dan telah menghasut rakyat Sabah dan Sarawak dengan memberi gambaran bahawa wujudnya parti politik yang bermain dengan ketegangan kaum dan agama di kalangan rakyat Malaysia.

"Kenyataan yang sama oleh Hannah Yeoh juga telah menghasut rakyat Sabah dan Sarawak untuk menolak PN (Perikatan Nasional) berdasarkan dari gambar (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang.

"Kenyataan Hannah Yeoh yang bersifat hasutan ini adalah serius dan Srikandi Bersatu memohon polis untuk membuat siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di tengah kebuntuan politik di negara ini, Yeoh menulis di Facebook semalam: "Kepada rakyat Sabah dan Sarawak, beritahu kepada parti-parti yang anda pilih - bahawa anda mahukan kerajaan persekutuan mewakili pelbagai kaum di Putrajaya, dan bukannya yang mahu menimbulkan ketegangan kaum dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia."

Hantaran itu disertai dengan keratan berita pemimpin Sarawak yang menggesa agar Abdul Hadi dilarang memasuki negeri itu, dan respons terhadap kenyataan "agenda Kristianisasi" yang dibuat oleh Muhyiddin.