Paling Popular
Terkini

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho didakwa mengugut Pengerusi The Edge Tong Kooi Ong berhubung laporan akhbar itu terhadap skandal 1MDB.

Tong, saksi pendakwaan ke-43, memberi keterangan demikian semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Abdul Razak di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, petang tadi.

Semasa pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya utama Gopal Sri Ram, Tong berkata Low (dikenali sebagai Jho Low) menyampaikan ugutan itu semasa pertemuan pada 2014.

Sri Ram telah bertanya kepada Tong sama ada dia kemudiannya mengenali atau mengesyaki Najib mempunyai hubungan dengan Low.

Low berkata dia dan The Edge sudah tahu ketika itu, semasa penerbitan pelbagai artikel penyiasatan berhubung skandal berkenaan.

“Saya sudah tahu tentang Jho Low ketika itu, kerana Low sebenarnya telah tampil menemui saya sebelum ini (pertemuan yang didakwa Tong dengan Najib pada 2015).

“Pada 2014, selepas The Edge mula menulis (artikel), Jho Low menghubungi saya untuk berjumpa saya dan dia berjumpa saya dua kali. Bapa Jho Low, Larry Low adalah orang yang saya kenali sejak tahun 1990-an.

“Jho Low memberitahu saya dalam pertemuan pertama di mana The Edge salah dan dia (Low) tiada kaitan dengan 1MDB. Dan dalam pertemuan kedua, dia kata dia kenal Najib dan kami (The Edge) harus berhati-hati dengan apa yang kami tulis,” kata Tong.

Pengerusi The Edge Tong Kooi Ong

Saksi menjelaskan bahawa kata-kata Low memberi gambaran dia mengancam The Edge agar berhenti menulis artikel siasatan mengenai 1MDB.

Sri Ram: Apa jawapan anda?

Tong: Pada asasnya, saya mengabaikan ancaman itu.

Sebelum ini, Tong memberi keterangan bahawa Najib mengabaikan amarannya berhubung masalah 1MDB ketika menemui bekas perdana menteri itu di kediamannya di Langgak Duta pada 2015.

Tong juga sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa selepas pertemuannya dengan Najib pada 2015, dia dan The Edge menghadapi banyak masalah kerana mereka terus menerbitkan laporan mengenai 1MDB, termasuk ancaman daripada penasihat media perdana menteri ketika itu Paul Stadlen bahawa "PMO" (Pejabat Perdana Menteri) sangat berkuasa.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung esok.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Berkenaan dengan empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, dia didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan dalam 1MDB telah dilakukan oleh Low dan beberapa yang lain, dengan restu Najib.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan tertuduh mendakwa Najib tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan 1MDB yang lain.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

SRC, pada mulanya merupakan anak syarikat 1MDB sebelum menjadi milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan. Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC.

Lihat Komen
ADS