Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada pihak yang sedang berusaha untuk memburukkan nama baiknya dengan membuat pelbagai tuduhan terhadapnya.

Beliau demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohamad Ramli Abdul Manan, bahawa pertukaranya dari Sabah ke ibupejabat BPR di Putrajaya dibuat atas arahan beliau (Dr Mahathir) kerana menyiasat kes rasuah membabitkan Tan Sri Kasitah Gaddam.

Sebelum ini, kata Dr Mahathir, ada cerita beliau memaksa Tan Sri Tajuddin Ramli membeli Penerbangan Malaysia (MAS) manakala Pengerusi Tenaga Nasional ketika itu, Tan Sri Ani Arope pula mendakwa beliau dipaksa menerima bekalan elektrik dari Loji Janakuasa Bebas (IPP).

"Dia (Tan Sri Tajuddin) menjual saham MAS dengan harga RM8 seunit sedangkan harga di pasaran ketika itu RM3," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya, selepas mengumumkan pelantikan 12 ahli kehormat Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur.

Ketika ditanya sama ada usaha itu dibuat atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkata 'iya'.

Ditanya apa sebabnya, Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak tahu mengapa tetapi merasakan mungkin kerana komennya berhubung beberapa perkara, termasuk mengenai anak menantu Perdana Menteri.

"Mungkin kerana komen saya terhadap pembatalan Jambatan Bengkok dan pembabitan anak menantu beliau dalam perniagaan," katanya dalam sidang media diYayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya petang tadi.

'Menang besar'

Dr Mahathir berkata, semasa menjadi Perdana Menteri beliau tidak berkata apa-apa dan tidak menghalang orang bercakap mengenai dirinya.

Katanya, 14 jemputan yang dibuat ke atasnya untuk bercakap di dalam forum yang berbeza terpaksa dibatalkan atas arahan pihak kerajaan.

"Polis yang memberitahu saya supaya menarik diri daripada program tersebut," katanya.

Dalam sidang media tersebut, Dr Mahathir juga ditanya mengenai peluang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Bekas Presiden Umno itu berkata, BN boleh menang besar sehingga 90 peratus kerusi bagi mengulangi pencapaian parti itu pilihanraya umum 2004.

Katanya, kemenangan besar BN dalam pilihanraya kecil Batu Talam 28 Januari lalu memberi petunjuk sokongan rakyat kepada kerajaan.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Dr Mahathir serius atau sinis ketika menegaskan perkara itu.

Dalam pilihanraya tersebut, calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram menewaskan calon bebas, Ng Chew Pang dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Sokong Misi 2057

Dr Mahathir juga berkata, beliau menyokong penggubalan Misi 2057 bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara daripada pelbagai aspek sejak kemerdekaan dan selepas pencapaian Wawasan 2020.

Abdullah dilaporkan berkata, Misi 2057 itu dapat dijadikan panduan pembangunan untuk tempoh 50 tahun akan datang.

"Saya setuju kerana sudah tentu Putrajaya akan siap kerana ketika ini ia belum siap lagi," kata Dr Mahathirt.

Beliau berkata, walaupun Wawasan 2020 belum tiba lagi, perlu ada pelan dan sasaran yang lebih jauh dalam pembangunan negara.

Dr Mahathir juga mengucapkan tahniah kepada Abdullah kerana menjadi penerima pertama Anugerah Kepimpinan Global Yayasan Napoleon Hill sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan global beliau yang cemerlang.

"Tahniah banyak, banyak. Saya tak dapat. Saya tidak begitu cemerlang. Jadi saya tak dapat," katanya.

Sesi soal-jawab Tun Dr Mahathir Mohamad