Selepas bertemu pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), istana seterusnya akan memanggil 30 ahli parlimen BN untuk menghadap pada 10.30 pagi esok.

Yang di-Pertuan Agong akan berjumpa 30 ahli parlimen itu secara berasingan.

Ia bagi Agong menentukan siapa yang paling berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen, mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda mengulangi titah agar rakyat terus bertenang.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baru dan pelantikan bakal perdana menteri ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air tercinta,” kata kenyataan pihak istana.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menghadap Agong.

Muhyiddin kemudian mendedahkan bahawa Agong mencadangkan kerajaan campuran antara PH dan PN, namun ditolak oleh presiden Bersatu itu.

Katanya, PN telah membuat keputusan daripada awal untuk tidak bekerjasama dengan PH.

“Apa tujuan sekali pun tak setuju,” kata Muhyiddin kepada pemberita di rumahnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Sementara Anwar yang ditemui pemberita selepas sesi menghadap di Istana Negara berkata Agong belum membuat keputusan hari ini dan baginda memberi sedikit masa lagi.

“Buat masa ini, tidak timbul persoalan untuk membentuk kerajaan minoriti.

“Kerajaan yang ditubuhkan sepatutnya mewakili semua kaum dan semua wilayah. Ini bermakna inklusif dalam semua aspek.

"Saya bersyukur dan mengalu-alukan semangat kerajaan perpaduan yang kebetulan saya sebutkan semalam.

"Jadi saya telah menerima pandangan baginda untuk memberi kita sedikit masa dan memberi pertimbangan serta kebijaksanaan untuk memutuskan perkara ini," katanya.