Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong cadang kerajaan perpaduan PH-PN, Muhyiddin tolak

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendedahkan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dia menolak cadangan itu kerana ia bertentangan dengan pendirian gabungan itu.

"Kami telah bincang sejak awal. Tak akan kerjasama dengan PH. Apa tujuan sekali pun, tak setuju.

"Jadi saya diminta tandatangani surat - saya tanda 'tak setuju' untuk kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara petang tadi.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan PN Azmin Ali, dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut hadir.

Pada masa sama, Muhyiddin menegaskan bahawa dia mempunyai akuan berkanun (SD) yang menunjukkan dia mendapat sokongan 115 ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri.

Namun, katanya, dia diberitahu oleh istana bahawa ia tidak mencukupi walaupun melepasi majoriti mudah 112 kerusi.

Dia juga menunjukkan surat untuk membuktikan bahawa SD diterima oleh setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong, Nazim Mohd Alim, tepat pada masanya.

“Kami yakin bahawa kami mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Namun, dikatakan jumlah kami tidak mencukupi.

“Oleh itu, Agong mencadangkan kita membentuk kerajaan perpaduan dengan PH,” katanya.

Muhyiddin tidak menjawab sebarang soalan daripada media sebelum menamatkan sidang medianya.

Lihat Komen
ADS