Goh: Spura boleh mulakankerjasama baru dengan Msia
Menteri Kanan Singapura Goh Chok Tong percaya republik itu boleh memulakan satu 'hubungan kerjasama baru' dengan Malaysia yang tidak mengira 'siapa yang lebih untung'.
Menteri Kanan Singapura Goh Chok Tong percaya republik itu boleh memulakan satu 'hubungan kerjasama baru' dengan Malaysia yang tidak mengira 'siapa yang lebih untung'.
"Saya fikir cara mengadakan kerjasama yang amat berbahaya ialah jika kita mula mengira siapa yang lebih untung adakah A yang akan untung lebih atau B yang lebih untung dalam kerjasama itu," katanya.
Menurut Bernama, dalam laporan yang disiarkan oleh Channel NewsAsia itu, Goh berkata rancangan Malaysia bagi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor boleh membawa kepada kerjasama sebenar antara kedua-dua negara.
WPI yang juga dikenali sebagai Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) merupakan wilayah pembangunan seluas 2,200 km persegi di Johor dan dijangka akan mewujudkan 800,000 pekerjaan sepanjang 20 tahun.
Sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan dua teras utama ekonomi WPI.
Hubungan dua hala
Menurut laporan Bernama, Goh berkata, jika seseorang itu mahu mengira siapa yang lebih untung dalam sesuatu kerjasama, maka "kerjasama itu tidak akan wujud."
"Dalam sesuatu usahasama, adakalanya A akan mendapat lebih manfaat dan B kurang sedikit," katanya.
Goh berkata Singapura sedia bekerjasama jika ia dialu-alukan sambil menegaskan bahawa kerjasama sedemikian mesti diteruskan walaupun kemungkinan ada turun naiknya hubungan dua hala pada masa depan.
Kenyataan Goh itu adalah ekoran daripada kenyataan Menteri Luar George Yeo di Parlimen baru-baru ini bahawa hubungan antara kedua-dua negara adalah baik dan semakin bertambah baik.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan melawat Malaysia pada Mei, di mana beliau dijadual mengadakan pertemuan perentian dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan menteri Kabinetnya.

