Usaha sekat bhgn PKR di Kedah calonkan Anwar?
Terdapat pihak tertentu di Kedah yang dikatakan tidak puashati dengan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pusat sedang berusaha mempengaruhi kesemua 10 bahagian di negeri itu supaya tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden dalam kongres nasional parti itu Mei ini.
Terdapat pihak tertentu di Kedah yang dikatakan tidak puashati dengan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pusat sedang berusaha mempengaruhi kesemua 10 bahagian di negeri itu supaya tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden dalam kongres nasional parti itu Mei ini.
Satu sumber yang rapat dengan badan perhubungan PKR Kedah percaya ia ada kaitan dengan tindakan parti itu membuat perubahan dalam barisan kepimpinan di peringkat negeri tersebut.
September lalu, Ketua PKR bahagian Sungai Petani, Johari Abdul dilantik sebagai ketua perhubungan PKR Kedah, menggantikan Mokhtar Mansor dan perubahan itu dikatakan telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pihak.
Ekoran itu, kata sumber itu lagi, empat bahagian yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing tidak mencalonkan Anwar, tetapi sebaliknya mencalonkan Abdul Rahman Othman dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding jawatan presiden.
Dua bahagian Merbok dan Padang Serai telah mencalon Abdul Rahman yang juga bekas timbalan presiden PKR manakala bahagian Sungai Petani dan Alor Setar telah mencalonkan Wan Azizah.
Sumber itu berkata, banyak pihak beranggapan tindakan bahagian Merbok itu adalah sebagai tanda protes terhadap keputusan PKR pusat menggantikan Mokhtar yang juga timbalan ketua bahagian berkenaan dengan Johari untuk menerajui PKR Kedah.
Menang jawatan utama
"Apa yang saya tahu, pihak yang tidak puashati dengan penukaran pucuk pimpinan PKR negeri itu, cuba mempengaruhi bahagian-bahagian lain supaya mencalonkan Abdul Rahman atau orang lain, dan bukannya Anwar bagi jawatan Presiden PKR," katanya.
Menurut sumber itu lagi, apa yang berlaku, sewaktu mesyuarat bahagian diadakan, pihak berkenaan akan memastikan penyokong kuat mereka memenangi jawatan utama termasuk ketua bahagian.
"Ini yang berlaku dalam mesyuarat PKR bahagian Padang Serai Ahad lalu. Penyandang Ketua bahagian, Abdul Hamid Osman tidak dicalonkan semula untuk jawatan ketua bahagian, tetapi sebaliknya dicalonkan sebagai pengerusi mesyuarat berkenaan," kata sumber itu.
Sebaliknya, kata sumber itu, penyandang jawatan timbalan ketua bahagian itu, Mat Saad Mat Din dicalonkan untuk jawatan ketua bahagian, dan menang kerana beliau adalah calon tunggal bagi jawatan tersebut.
Menurut sumber itu lagi, dalam mesyuarat tersebut juga, hanya nama Abdul Rahman dicalonkan untuk jawatan presiden, kerana ada bantahan terhadap pencalonan Anwar kerana beliau masih dilarang oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) memegang sebarang jawatan dalam parti politik, sehingga April 2008.
Sementara itu, Johari ketika dihubungi berkata, pelantikan beliau menggantikan Mokhtar dibuat atas bidangkuasa Dr Wan Azizah sebagai presiden parti.
"Saya berharap semua pihak dapat menerima pelantikan saya sebagai Pengerusi PKR Kedah sebagaimana pemimpin sebelum ini," katanya.
Prestasi kerja
Katanya, pelantikan seseorang sebagai pengerusi perhubungan negeri adalah dibuat berdasarkan prestasi kerja dan bukannya kerana personaliti.
Johari mengakui ada perbezaan pendapat antara beliau dengan Mokhtar sebelum ini, tetapi menurutnya, ia tidak mencapai ke tahap krisis.
Manakala Mokhtar, ketika dihubungi berkata, beliau menerima keputusan Dr Wan Azizah melantik Johari sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Kedah yang baru.
Katanya, keputusan bahagian Merbok mencalonkan Abdul Rahman untuk bertanding jawatan presiden parti adalah kerana tidak mahu PKR dikenakan tindakan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau berkata, bahagian Merbok mencalonkan Abdul Rahman kerana berpendapat sudah sampai masanya PKR diterajui oleh presiden baru.
Dr Wan Azizah menjadi Presiden PKR sejak parti itu ditubuhkan pada 1999, selepas Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.