Dewan Tertinggi BN akan membincangkan pagi esok sama ada menerima tawaran Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baru.

Menurut sumber daripada beberapa parti komponen BN, sebaik sahaja Dewan Tertinggi BN membuat keputusan, keputusan itu akan disampaikan kepada 30 ahli parlimen yang mesti menerima pakai pendirian itu.

Jawatankuasa terdiri daripada tujuh pemimpin BN telah menerima tawaran daripada PH pada Isnin, diikuti pertemuan dengan PN hari ini.

Ahli jawatankuasa itu terdiri daripada Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya Mohamad Hassan, setiausaha agung Zambry Abd Kadir, Presiden MCA Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurp dan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Menurut sumber, Zahid tidak menghadiri perbincangan dengan PN di Hotel St Regis, Kuala Lumpur hari ini kerana masalah kesihatan.

"Perunding yang dilantik kami tidak boleh membuat keputusan. Semua keputusan akan dibuat oleh Dewan Tertinggi BN," kata sumber itu.

Walaupun Dewan Tertinggi BN pada awalnya menyatakan hasrat untuk kekal berkecuali dan menjadi pembangkang, mereka kelihatan lebih komited ke arah merealisasikan kerajaan perpaduan selepas menerima titah Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

PH mempunyai bilangan kerusi terbesar Dewan Rakyat (82 kerusi), diikuti Perikatan Nasional (73).

Mana-mana gabungan akan memerlukan penyertaan BN (30 kerusi) untuk membentuk kerajaan.