Berita Malaysiakini

Projek IC: Cash mungkin dapatkan perintah mahkamah

Tony Thien  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash) akan meneruskan usahanya untuk menghalang pihak berkuasa daripada mengeluarkan kad pengenalan kepada rakyat asing melalui 'pintu belakang', kata Presidennya, Datuk Patrick Sindhu.

Beliau memberitahu malaysiakini , salah satu langkah yang sedang dipertimbangkan ialah untuk mendapatkan perintah mahkamah, tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Projek IC masih berterusan, tapi mungkin tidak secara terang-terangan seperti sebelumnya," kata timbalannya, Joshua Kong.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah memandang berat keterangan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok bahawa semua kad pengenalan yang dikeluarkan kepada rakyat asing adalah tulen dan sah.

Cash mendakwa, banyak daripada kad pengenalan ini dikatakan dikeluarkan melalui cara yang meragukan dengan bantuan ahli politik tertentu di Sabah untuk menambah sokongan terhadap mereka.

Persatuan itu juga telah mengumpulkan lebih 100,000 tandatangan dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Dompok, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menggesa supaya ditubuhkan jawatankuasa diraja untu menyiasat perkara itu.

Sehingga ini, tidak sebarang reaksi daripada pihak kerajaan kecuali Musa yang mengatakan tidak perlu menubuhkan suruhanjaya tersebut kerana pihak polis boleh menjalankan siasatan.

Polis ambil kenyataan Jeffrey

Berikutan itu, polis telah mengambil kenyataan pemimpin pembangkang, Dr Jeffrey Kitingan mengenai maklumat yang terkandung dalam bukunya Justice for Sabah.

"Mereka meminta penjelasan saya mengenai beberapa perkara yang disebut dalam buku itu, termasuk isu IC dan jumlah penduduk," kata Jeffrey ketika dihubungi malaysiakini di Kota Kinabalu hari ini.

Menurut perangkaan kerajaan, penduduk Sabah berjumlah 2.8 juta tetapi NGO seperti Cash berkata, angka sebenarnya lebih tinggi 3.5 juta hingga empat juta dan lebih separuhnya daripadanya adalah rakyat asing, sebahagian besarnya dari Indonesia dan Filipina.

Jeffrey menganggarkan sekurang-kurangnya 250,000 rakyat asing tinggal secara haram di Sabah, sebahagian besarnya mungkin bekerja di sektor perladangan, di samping kira-kira 600,000 rakyat asing yang telah diberikan kad pengenalan.

Kehadiran ramai rakyat asing tanpa izin di Sabah menjadi salah satu isu yang dijangka mendominasi kempen pilihanraya umum akan datang.

Rakyat asing juga dipersalahkan sebagai punca kemerosotan kualiti hidup, kekurangan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan serta menimbulkan masalah keselamatan. Berita asal